Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 October, 2009

Gunakan program anak angkat untuk pelajari budaya kaum - Masir


Caption: UNTUK ALBUM...Masir (tiga kanan) bersama Shamshuddin (kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama tetamu jemputan, keluarga angkat dan peserta ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Rabu (14 Okt) – Peserta Program Lawatan Integrasi / Homestay harus mengambil peluang untuk mempelajari dan memahami budaya serta adat resam penduduk berbilang kaum dalam negeri ini khususnya di Bahagian Sri Aman.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Peserta Program Lawatan Integrasi / Homestay kepada Keluarga Angkat sempena Program Berambeh di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

“Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman ini dilihat sebagai satu pentas untuk mewujudkan semangat 1Malaysia dikalangan peserta berbilang kaum dan agama dalam negara ini.

“Justeru saya berharap agar hubungan perpaduan di antara penduduk berbilang kaum dapat terus diperkukuhkan dengan adanya budaya proses pembelajaran dan pemahaman budaya di kalangan peserta menerusi program ini,” menurut Masir.

Beliau juga turut menambah bahawa perpaduan adalah merupakan asas pembangunan utama dalam negara ini dan ia terbukti apabila Amerika Syarikat setuju untuk melabur dalam Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) di Sarawak.

Jika hubungan perpaduan ini dapat diperkukuhkan kata beliau maka adalah tidak mustahil bagi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020 kelak.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Negeri Sarawak, Delin Liet Blaun, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan timbalannya, Felicia Tan, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Mohd Yusli Nasir, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu seramai 68 orang peserta dari Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mengambil bahagian dalam Program Lawatan Integrasi / Homestay di Bahagian Sri Aman yang bermula dari 12 hingga 16 Oktober ini.

Kesemua peserta ini akan berangkat pulang ke negeri masing-masing sebaik sahaja selesai Majlis Penyerahan Balik Anak Angkat kepada urusetia penganjur majlis pada 15 Oktober ini di Dewan Suarah Sri Aman.

Tamat.


No comments:

Post a Comment