Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 October, 2009

Flashback artikel - Khabar Dari Wilayah - Ijok


Artikel ini sekadar 'flash back' untuk pembaca. Ia diterbitkan untuk pertama kalinya dalam Utusan Sarawak bagi ruangan KHABAR DARI WILAYAH pada 6 September 2004. Lama sudah. Tapi untuk kenang-kenangan ler hehehe. Artikel ini ditujukan untuk mat palau di sri aman dan di seluruh Malaysia kah kah. Idup Ijok!


Caption: Rakan penulis iaitu Edwin Nanggah (kanan) sedang melihat cara-cara penghasilan Ai Ijok baru-baru ini.

Baru-baru ini, penulis telah menyertai rombongan Menteri Muda Pertanian dan Sukan iaitu Encik Dublin Unting anak Ingkot ke Ulu Engkari, Lubok Antu untuk membuat liputan mengenai Majlis Perhimpunan Sivik Bersama Rakyat serta Penyerahan Cek bertempat di Rumah Sunok anak Ukar, Stamang pada 27 Ogos lalu.

Namun sebelum keberangkatan rombongan beliau ke Ulu Engkari, penulis bersama seorang rakan sempat meluangkan sedikit masa untuk ke bertandang ke kampung halaman setiausaha sulit beliau sendiri iaitu Encik Nelson Naga Alam yang akan turut serta di dalam rombongan terbabit di Batang Ai.

Di rumah berkenaan, penulis bersama rakan telah dihidangkan dengan sejenis minuman yang kebiasaannya menjadi kegemaran masyarakat daerah Lubok Antu ketika musim perayaan dan upacara adat. Ia lazimnya dikenali sebagai ‘Ai Ijok’ (air ijok).

Untuk pengetahuan pembaca, penulis telah mengenali minuman jenis ini untuk cukup lama. Itu pun semenjak penulis menjejakkan kaki ke Bahagian Sri Aman untuk melaksanakan tanggungjawab diri ini sebagai seorang wartawan kira-kira setahun lebih yang lalu.

Asal sahaja menghadiri majlis rasmi di daerah Lubok Antu maka sudah tentunya penulis akan berpeluang untuk menikmati minuman Ai Ijok. Namun Ai Ijok yang penulis nikmati di rumah Encik Nelson tampak lebih segar berbanding dengan Ai Ijok yang penulis sendiri pernah nikmati sebelum ini.

“Baru sahaja ambil daripada pokok Ijok di belakang rumah,” katanya apabila menyedari bahawa penulis dan rakan begitu menikmati minuman tersebut berbanding dengan yang sebelumnya. Seolah-olah seperti baru sahaja menikmati sesuatu yang baru.

Atas sebab ini, penulis telah meminta beliau untuk membawa penulis melawat ke kawasan yang dimaksudkan oleh dirinya bagi meninjau sendiri proses penghasilan Ai Ijok. Terus terang penulis katakan bahawa penulis sendiri tidak pernah melihat bagaimanakah Ai Ijok ini dihasilkan.

Mungkin ada di antara para pembaca yang belum mengenali minuman jenis ini. Boleh jadi juga ada yang pernah merasainya namun tidak tahu bagaimanakah minuman seumpama ini diperolehi.

Ai Ijok adalah merupakan sejenis minuman arak yang cukup popular dikalangan masyarakat Dayak yang menetap di sekitar daerah Lubok Antu dan Sri Aman. Sebut sahaja ‘Ijok’ maka sudah pasti kebanyakkan penduduk Dayak di daerah ini akan mengenali minuman terbabit.

Jika anda mengenali Ai Tuak (minuman tradisi masyarakat Dayak ketika sambutan Hari Gawai) maka sudah tentunya anda akan mengenali Ai Ijok. Rupanya sama namun cara penghasilannya sahaja yang berlainan.

Perbezaannya di sini ialah air tuak dihasilkan melalui proses penapaian ragi, air gula dan pulut manakala Ai Ijok pula dihasilkan melalui pokoknya iaitu Ijok (minuman berkenaan mendapat nama bersempena dengan pokoknya sendiri).

Sepertimana orang mendapatkan gula melaka daripada pokoknya maka seperti itu jugalah orang mendapatkan Ai Ijok daripada pokoknya sendiri. Ai Ijok terhasil melalui proses perolehan nira pokok berkenaan.

“Inilah pokok Ijok,” kata Nelson sambil menunjukkan sebatang pokok yang seakan pokok palma kepada diri penulis ketika berada di belakang rumahnya.

Menurut beliau, Ai Ijok tersebut hanya mampu diperolehi sekiranya usia bagi pokok berkenaan mencecah usia lima tahun ke atas dan sudah mula mengeluarkan tandan.

“Apabila pokok Ijok menjangkau usia lima tahun maka ianya akan menghasilkan dua buah tandan yang besar serta kecil.

“Jikalau tandan besar pada pokok Ijok sudah menghasilkan buah Senggalang Burung dan pada masa yang sama turut mengeluarkan tanda kecil maka pada masa itulah niranya boleh diperolehi,” katanya.

Jelas Nelson, sekiranya ketiga-tiga syarat berkenaan tidak dituruti oleh orang yang ingin mendapatkannya maka adalah amat mustahil sekali pokok Ijok berkenaan mampu menghasilkan nira (Ai Ijok).

Untuk mendapatkan niranya, beliau menjelaskan bahawa pembuat Ai Ijok perlu memotong sedikit pada hujung tandan kecil pokok berkenaan untuk agar ianya menitis keluar.

Nira (Ai Ijok) berkenaan akan menitis daripada hujung tandan kecil pokok tersebut dan seterusnya akan ditapis lalu ditakungkan di dalam sebuah bekas yang telah disediakan oleh pembuatnya.

“Langkah seterusnya ialah anda perlu memotong hujung tandan kecil pokok berkenaan sedikit demi sedikit setiap jam 5 petang memandangkan ianya akan kering lalu tidak mampu menitiskan nira.

“Melalui langkah ini, si pembuatnya mampu memperolehi tiga hingga empat gelen Ai Ijok untuk satu malam sepanjang tiga bulan proses ini dilakukan ataupun dengan kata lain apabila tandan ini sudah habis dipotong sehingga ka pangkal,” katanya.

Menurutnya lagi, proses bagi mendapatkan Ai Ijok ini boleh dilakukan semula apabila pokok tersebut mengeluarkan tandan kecil dan tandan besar yang sudah berbuah bagi musim yang seterusnya.

Kata beliau, pokok Ijok mampu menghasilkan tandan sebanyak lapan kali dan ini bererti seseorang itu boleh mendapatkan nira pokok terbabit melalui lapan musim.

Namun jelas Nelson, proses pertumbuhan tandan pokok Ijok akan berlaku berterusan sampai ke bahagian bawah berbanding pokok lain yang pada kebiasaannya tumbuh secara berturut-turut di bahagian pucuk.

Menurutnya, hayat pokok Ijok akan berakhir apabila kedua-dua tandan tersebut bercambah sehingga mengenai permukaan tanah untuk proses pertumbuhan tandan bagi kali yang kelapan.

“Sebatang pokok Ijok yang sudah cukup usia akan mengeluarkan tandan buahnya sebanyak lapan kali namun apa yang menariknya di sini ialah corak pertumbuhan tandan pokok terbabit adalah bersifat menurun ke bawah.

“Untuk kali yang kelapan, tandan tersebut terhasil di bahagian paling bawah pokok Ijok dan inilah kali terakhir anda mampu mendapatkan nira sebelum hayat pokok berkenaan berakhir,” katanya.

Penulis menganggukan kepala sebagai tanda faham. Kini, penulis berupaya memperoleh pengetahuan baru mengenai cara penghasilan Ai Ijok. Al maklumlah, penulis bukan orang sini maka mana pernah jumpa minuman sebegini rupa melainkan tuak.

Sebelum berangkat ke pengkalan bot di Batang Ai, kami bertiga sempat membawa segelen Ai Ijok sebagai bekalan. Sekurang-kurangnya kami sempat berhibur ketika menempuhi perjalanan sungai ke Ulu Engkari dengan menggunakan perahu berinjin yang bakal memakan masa selama dua jam setengah.

“Jangan ingat pokok Ijok hanya menghasilkan air sahaja namun umbut pokok ini juga boleh dijadikan sebagai lauk, daunnya boleh dijadikan sebagai atap nipah manakala sabut boleh dijadikan sebagai tali dan penapis,” katanya.

Tamat.....

No comments:

Post a Comment