Caption: 1MALAYSIA...Snowdan (duduk kiri) bersama tetamu khas dan peserta program melaungkan slogan 1Malaysia ketika berlangsungnya program tersebut baru-baru ini.
KUCHING, Ahad (18 Okt) – Kemajuan pesat dalam bidang industri pembuatan, penyelidikan dan pembangunan, pendidikan moden, komputer, komunikasi, pengangkutan, seni bina serta sains dan teknologi sememangnya tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak.
Justeru kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan berkata ilmu dalam pelbagai bidang ini harus dicari dan dipelajari oleh belia-belia negara mulai sekarang.
”Kesemua langkah ini boleh dicapai melalui teknik atau cara latihan serta pembelajaran seperti latihan sambil bekerja, lawatan sambil belajar, kursus atau bengkel, ceramah, seminar, 'apprenticeship' dan sebagainya.
”Inilah peranan yang harus dimainkan oleh pihak ibu bapa dan guru untuk mengalakkan anak-anak (belia) mempelajari semua bidang ini demi menjadi penggerak kemajuan negara di masa akan datang,” katanya.
Snowdan berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra 1Malaysia sempena Program Lawatan Sambil Belajar daripada 12 Buah Sekolah-Sekolah Rendah dari Balai Ringin, Serian bertempat di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Khamis lalu.
Selain itu pihak kerajaan menurut beliau juga sentiasa memberi galakan kepada golongan muda untuk bergerak cergas dalam pelbagaiu program pembangunan modal insan pada masa sekarang.
”Lawatan sambil belajar ke Kuching ini juga boleh mengungkit kesedaran anak-anak muda tentang kesungguhan pihak kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang maju seiring dengan lain-lain negeri dalam negara ini.
”Kesedaran ini mendorong anak-anak muda untuk belajar bersungguh- sungguh kerana hanya melalui pendidikan yang cemerlang sahaja dapat mengubah nasib anda, keluarga dan bangsa kita,” katanya pada ucapan itu.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Pelajaran Daerah Simunjan, Ahmat Ibrahim bin Sah dan penolongnya Encik Brownsing.
Tamat.
No comments:
Post a Comment