SRI AMAN, Jumaat – Cabaran globalisasi pada masa sekarang telah menuntut agar rakyat Malaysia menjadi lebih berpengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan lebih mengutamakan kualiti kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.
Ianya menurut beliau secara tidak langsung telah menyebabkan tuntutan terhadap peranan seorang guru sebagai golongan warga pendidik di negara ini adalah jauh lebih hebat berbanding masa dahulu.
”Kerajaan mahu mewujudkan golongan guru yang berkualiti demi membolehkan berlakunya reformasi pendidikan dalam negara ini demi melahirkan generasi masa hadapan yang boleh mengangkat Malaysia ke suatu tahap yang lebih membanggakan. ”
Atas sebab ini maka kerajaan telah merangka empat strategi utama telah dirangka agar dapat memenuhi sebahagian besar keperluan intelektual, rohani, fizikal dan emosional para guru,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh pembantu beliau iaitu Aba Unggie ketika merasmikan Majlis Makan Malam bersempena Majlis Perayaan Sambutan Hari Guru 2009 peringkat DUN Balai Ringin di sini baru-baru ini.
Empat strategi terbabit kata Snowdan adalah langkah untuk memantapkan pemilihan bakal guru dan latihan guru, menambah baik karier perguruan dan persekitaran kerja guru sehinggalah kepada usaha untuk meningkatkan rasa bangga guru terhadap profesion perguruan. ”
Kerajaan mahu memastikan agar para guru yang berkualiti berupaya melahirkan golongan modal insan untuk memenuhi tuntutan pembangunan negara pada masa akan datang. ”
Justeru saya berharap strategi ini juga dapat mengembalikan rasa hormat rakyat kita terhadap golongan guru yang selama ini menuduh golongan berkenaan gagal menjaga masalah salah laku disiplin di sekolah,” katanya.
Snowdan menerusi majlis terbabit telah mengumumkan peruntukkan sebanyak RM5,000 Jawatankuasa Zon Telagus bagi kegunaan mereka di masa akan datang. Tamat.
No comments:
Post a Comment