Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 May, 2009

Kenapa malu bercakap Iban? - Mong


Caption: BERTEMU RAKYAT...Mong (tengah) semasa dibawa berarak menerusi ruai semasa tiba di rumah panjang, Jubang Sebangki Panjai dalam majlis itu.

LUBOK ANTU, Rabu – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang kecewa terhadap segelintir sikap penduduk kaum Iban yang segan untuk mentuturkan bahasa ibunda mereka ketika berjumpa di antara satu sama lain.

Sikap ini seumpama ini menurut beliau lebih ketara dikalangan penduduk kaum Iban yang menetap di bandar kerana bimbang bahawa identiti kaum mereka diketahui oleh penduduk kaum lain.

“Kenapa harus berasa rendah diri menjadi orang Iban sehingga malu untuk mentuturkan bahasa ibunda mereka sendiri ketika bertemu sesama sendiri?

“Jika beginilah sikap mereka maka adalah jauh sekali harapan kita untuk melihat bahasa, budaya dan adat resam kaum Iban terus terpelihara di negeri ini pada masa akan datang,” menurut beliau.

Mong berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Rakan Muda Kesukarelawanan, Kemasyarakatan dan Seni Budaya Peringkat Parlimen Lubok Antu di Rumah Jubang, Sebangki Panjai, Lubok Antu di sini, baru-baru ini.

Beliau juga menambah bahawa adalah sukar bagi golongan terbabit untuk diberikan kepercayaan bagi menghidup serta mengekalkan kebudayaan dan permainan kaum Iban seperti ‘bersengai’, ‘beremban’, ‘bepantun’, berenung, ‘mengap’ ngajat dan sebagainya.

“Bertutur bahasa lain adalah tidak salah. Cuma mereka ini (orang Iban bandar) haruslah ingat bahawa siapa diri mereka yang sebenarnya dan bukan mengenepikan sama sekali identiti kaum mereka ketika berada di bandar,” katanya.

Sementara itu Mong selaku Ketua Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) juga berpesan kepada golongan belia lepasan sekolah agar tidak mudah putus asa dalam perjuangan hidup mereka sekiranya gagal dalam pelajaran.

“Kerajaan menyediakan banyak peluang buat mereka untuk meneruskan usaha menimba ilmu sekiranya mahu menikmati kejayaan yang sama seperti orang lain..jadi jangan khuatir,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Syennier Jean Serit, Pembantu Luar Kanan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Batang Ai Linda Lim kawi dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.

Tamat….

No comments:

Post a Comment