Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 October, 2010

Simoi - kita tak akan mengalah



 
Mugshot: HAJAH SIMOI 
 
SRI AMAN, Selasa (12 Okt) – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak akan putus asa untuk memberikan khidmat yang terbaik terhadap rakyat walaupun suasana politik dianggap sedang panas di negeri ini.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Berambeh Bahasa Peringkat Bahagian Sri Aman di Kampung Putat, Sri Aman baru-baru ini.
 
Menurut beliau segala tuduhan pihak pembangkang terhadap kerajaan BN selama ini hanya menguatkan semangat bekerja dikalangan wakil rakyatnya dan bukannya melemahkan semangat mereka.
 
“Senario seumpama itu sememangnya sering berlaku dalam politik. Wakil rakyat BN sudah biasa menerima tuduhan dan kata fitnah daripada pihak pembangkang berhubung segala isu di negeri ini.
 
“Jika mereka menganggap wakil rakyat BN telah lemah semangat maka mereka nyata silap. Wakil rakyat BN sentiasa yakin pada diri dan tahu rakyat memerlukan khidmat mereka demi pembangunan kawasan dari masa ke semasa,” menurut beliau.
 
Selain itu rakyat kata Simoi harus berfikiran terbuka dan menyokong segala dasar pembangunan yang telah atau bakal dilaksanakan oleh kerajaan BN dalam negeri ini mulai sekarang.
 
Rakyat juga kata Simoi perlu bersikap lebih matang dan rasional demi membolehkan kerajaan BN melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan mereka menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan sebagainya.
 
“Justeru sokongan padu rakyat terhadap BN menjelang pilihan raya negeri ini kelak adalah amat penting. BN perlu terus memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri agar Sarawak terus maju di masa akan datang,” menurut beliau.
 
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Felicia Tan Ya Hua, ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua masyarakat setempat yang lain.
 
Program Berambeh Bahasa Peringkat Bahagian Sri Aman ini adalah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman.
 
Tamat

No comments:

Post a Comment