Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 October, 2010

Penduduk luar bandar adalah aset penting BN, Nyalau


Caption: TERIMA KASIH...Nyalau (kanan) menerima cenderamata daripada Tr jamit dalam majlis itu. Turut kelihatan James (kanan sekali), Dennis (kiri) dan Penghulu Lembang Bagok (tengah).

LUBOK ANTU, Isnin (11 Okt) – Penduduk dari kawasan luar bandar Sarawak merupakan ‘aset’ paling berharga bagi pihak Barisan Nasional (BN) ketika menjelang pilihan raya parlimen atau negeri sebelum ini.

Justeru Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak meminta kerajaan untuk menyalurkan lebih banyak projek pembangunan di kawasan luar bandar dalam negeri ini dari masa ke semasa.

“Ini kerana majoriti pengundi utama BN adalah merupakan penduduk yang menetap di kawasan luar bandar dalam negeri ini acapkali menjelang pilihan raya negeri mahupun parlimen.

“BN kuat di Sarawak disebabkan oleh golongan mereka dan sumbangan para penduduk ini perlu dibalas kembali oleh kerajaan dengan memperuntukan lebih banyak belanjawan bagi perlaksanaan projek pembangunan di kawasan luar bandar Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Bertemu Rakyat 2010 bertempat di Rumah Panjang Jamit, Pudai, dalam daerah Lubok Antu di sini baru-baru ini.

Selain itu kemenangan besar BN di kawasan luar bandar Sarawak dan Sabah sebelum ini katanya menunjukkan bahawa penduduk di situ mahukan pembangunan yang berterusan di kawasan mereka.

“Kerajaan sememangnya sedar terhadap sumbangan penduduk luar bandar bagi memastikan kemenangan BN sebelum ini. Harapan saya ialah agar sokongan penduduk seperti ini diteruskan terhadap kerajaan pada pilihan raya kelak,” katanya.

Nyalau pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan yang mencatat nilai keseluruhan RM74,000 bagi tujuan menaiktaraf rumah panjang dan mengubahsuai rumah pendidikan Warga Emas yang buta huruf di rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Lubok Antu, James Roselly anak Robert Resa, Pembantu Penerangan Daerah Lubok Antu Dennis Tandat, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment