Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 October, 2010

Penduduk Iban rumah panjang simpan khazanah berharga


Mugshot: SII HUA TUNG

SRI AMAN, Isnin (11 Okt) – Kehidupan penduduk Iban di kawasan rumah panjang sebenarnya menyimpan nilai khazanah budaya serta adat resam yang tinggi untuk dipelajari oleh lain-lain kaum dalam negeri ini.

Justeru Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Sii Hua Tung mengalakkan wujudnya program perkongsian budaya yang membabitkan penduduk Iban rumah panjang dan penduduk dari lain-lain kaum pada masa akan datang.

“Sebenarnya masih ramai pihak yang tersalah sangka mengenai kehidupan penduduk Iban di rumah panjang masing-masing selama ini dengan menganggap bahawa kehidupan mereka masih ketinggalan berbanding penduduk kawasan bandar.

“Kehidupan penduduk Iban rumah panjang sebenarnya memiliki aset budaya dan adat resam yang tinggi jika diselami dengan betul. Kelebihan ini sangat bernilai untuk dirujuk dan saya menyokong jika diwujudkan pelbagai program perkongsian budaya terutama sekali program anak angkat di rumah panjang penduduk Iban selepas ini,” katanya.

Antara budaya dan adat resam penduduk Iban rumah panjang yang sangat menarik kata Sii adalah tarian Ngajat, cara tenunan pakaian tradisional, hidangan makanan tradisi, main asal dan banyak lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Komuniti 1Malaysia 2010 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Rumah Jegai Jawa, Sungai Purai, Batu Lintang, Sri Aman petang kelmarin.

Selain itu Sii juga menasihatkan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini untuk menyingkirkan elemen pemikiran negatif dalam diri masing-masing jika mahu memperkukuhkan hubungan perpaduan di kalangan mereka dari masa ke semasa.

“Semua pihak sedia maklum bahawa hubungan perpaduan yang utuh di antara penduduk berbilang kaum akan dapat menjamin kepada wujudnya kestabilan politik dalam negeri ini.

“Jika kestabilan politik wujud maka pembangunan akan dapat dilaksanakan dengan penuh lancar. Ia secara tidak langsung akan memberi keuntungan jangka panjang kepada penduduk di masa akan datang,” katanya.

Majlis penutupan itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis manakala majlis perasmiannya pula telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat pada 8 Oktober lepas.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Penolong Pengarah KEMAS Sarawak, Azrul Aidi Philip Abdullah, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Sii Hua Tung, para kakitangan kerajaan dan penduduk di sini.

Seramai 38 orang peserta mengambil bahagian dalam program anak angkat yang diadakan menerusi majlis berkenaan bermula 8 hingga 10 Oktober lepas. Ia membabitkan penyertaan sebanyak 26 buah keluarga angkat dari sekitar kawasan Batu Lintang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment