Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 October, 2010

Mong setuju promosi Jatropha dihentikan


Caption: SELAMAT DATANG...Mong sedang bersalaman dengan penduduk sambil diiringi oleh Masir (kanan) sebaik sahaja tiba di Rumah Lindang, Lachau Ili untuk merasmikan majlis itu.


PANTU, Isnin (4 Okt) – Menteri Muda Permodenan Pertanian, Mong anak Dagang bersetuju bahawa promosi penanaman Pokok Jarak atau Jatropha harus diberhentikan dikalangan penduduk dalam negeri ini mulai sekarang.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang baru-baru ini telah menyarankan agar promosi Jatropha dihentikan serta-merta disebabkan oleh masalah pasaran (tidak menguntungkan) dan ketiadaan pusat pemprosesan hasil tanaman terbabit di Sarawak selama ini.

“Untuk pengetahuan penduduk di sini, Jabatan Pertanian di pusat kajian Semengoh baru-baru ini mendapati bahawa tanah di Sarawak tidak sesuai digunakan untuk tujuan penanaman Jatropha.

“Justeru faktor pasaran yang tidak menguntungkan, ketiadaan pusat pemprosesan dan ketidaksesuaian jenis tanah di Sarawak telah mendorong kerajaan untuk tidak mengalakkan promosi Jatropha dikalangan penduduk selepas ini,” katanya.

Mong yang juga Menteri Muda Pelancongan dan Warisan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Dialog Bersama Pemimpin dan Perasmian Majlis Penutupan Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia peringkit Parlimen P.202 Sri Aman Bagi Zon B Bukit Begunan di Rumah Lindang Jemat, Lachau Ili, Pantu kelmarin.

Selain itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan memberitahu promosi penanaman Jatropha di Sarawak hanya dilakukan oleh syarikat persendirian dan bukannya menerusi kerajaan selama ini.

Kerajaan katanya masih lagi meneruskan kajian mengenai penanaman Jatropha berkenaan dan belum lagi mengalakkan penduduk dalam negeri ini untuk memulakan usaha menanam pokok pengeluar Bio Fuel terbabit.

“Kita tidak akan menghalang penduduk atau mana-mana syarikat persendirian untuk terus bergiat dalam bidang penanaman Jatropha selepas ini. Bagaimanapun ingin saya nasihatkan bahawa bergiat dalam aktiviti penanaman sawit dan getah jauh lebih menguntungkan berbanding Jatropha,” menurut beliau.

Mong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk JKKK Rumah Lindang dan RM5,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Beliau turut menyempurnakan upacara sepak mula Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia peringkit Parlimen P.202 Sri Aman Bagi Zon B Bukit Begunan di Padang Serbaguna Futsal Rumah Lindang.

Hadir sama ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman, Zaidi Sarkawi, Penolong Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Sri Aman, Mohd Ishrak Ismail, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment