Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 October, 2010

Hulur pakaian terpakai seru Bulan Sabit Merah


Caption: SUMBANGAN IKHLAS...Paul (kanan sekali), Mashore (tiga kiri) dan ahli BSMM cabang Sri Aman ketika menerima sumbangan pakaian terpakai daripada pihak SJK Chung Hua Simanggang kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (9 Okt) – Orang ramai dari sekitar kawasan Sri Aman dipelawa untuk menyumbang pakaian terpakai kepada Pertubuhan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) selepas ini.

Pengerusi Misi Bantuan Kemanusiaan, BSMM cabang Sri Aman, Mas Mashore Haji Maslem berkata sumbangan pakaian terpakai oleh penduduk amat penting bagi membantu mangsa yang ditimpa musibah akibat bencana alam atau lain-lain kemalangan di kawasan ini.

“Mangsa kebakaran atau bencana alam sememangnya memerlukan sumbangan seumpama ini daripada penduduk selain dari sumbangan berupa makanan, keperluan asas pendidikan dan sebagainya.

“Justeru penduduk yang mahu menyumbang pakaian terpakai dan lain-lain bantuan kepada pihak BSMM boleh berkunjung ke pusat operasi kami di kawasan Jalan Hospital, berdekatan dengan laluan bulatan dalam Bandar Sri Aman selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Penyampaian Barang Terpakai Kepada Bulan Sabit Merah Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang kelmarin.

Selain itu Mashore juga berharap agar kempen barangan terpakai dilaksanakan secara aktif di kawasan Sri Aman untuk membantu BSMM menyumbang bantuan kepada golongan yang amat memerlukan pada masa akan datang.

“BSMM memerlukan sumbangan orang ramai untuk lebih giat membantu kebajikan hidup mana-mana penduduk yang ditimpa musibah akibat bencana alam dan lain-lain tragedi.

“Sumbangan penduduk amat diperlukan berhubung perkara ini. Walaupun kecil namun bantuan mereka memberi makna yang cukup besar kepada golongan penduduk yang ditimpa musibah dalam kawasan Sri Aman selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Naib Presiden BSMM cabang Sri Aman, Paul Lu, Setiausaha BSMM cabang Sri Aman, Charles Tay, Kuatermaster, Su Kong serta para ahli BSMM cabang Sri Aman yang lain.

Tamat.

No comments:

Post a Comment