Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 October, 2009

Tiga maut menerusi kemalangan di Pantu kelmarin




Caption:

1.TUNDA...Kenderaan Isuzu Dimax telah ditunda ke jalan sebaik sahaja berlaku kejadian kemalangan yang membunuh tiga orang kakitangan JTS Sibu petang kelmarin.

2.MALANG...Pihak polis sedang mengusung mayat mangsa yang terbunuh ke dalam lori setelah berlakunya kemalangan terbabit kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (23 Okt) – Tiga orang kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Sibu terbunuh manakala seorang lagi selamat apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki oleh mereka terjunam ke dalam Sungai Merah, Pantu menerusi kemalangan yang berlaku di kilometer 57, Jalan Kuching – Sri Aman lewat petang kelmarin.

Menurut sumber kejadian kemalangan yang meragut nyawa tiga orang lelaki itu telah berlaku kira-kira satu kilometer dari simpang jalan masuk menuju ke Pekan Pantu sekitar jam 3.15 petang kelmarin.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian kemalangan ini menurut sumber ialah Augustine Uga anak Udai, 41, Peni anak Jantan, 45 dan Mathew Gaie anak Jelai, 46, manakala mangsa yang selamat ialah Encharang anak Janting, 53 tahun.

“Sebelum berlakunya kejadian, kesemua empat orang mangsa ini dipercayai dalam perjalanan pulang menuju ke Sibu dari arah Kuching ketika berlangsungnya hujan lebat pada waktu itu.

“Ketika menghampiri Jambatan Sungai Merah berkenaan, pemandu kenderaan Isuzu Dimax yang dinaiki oleh kesemua mangsa itu dipercayai terkejut apabila mendapati terdapat pokok tumbang di kawasan jalan berkenaan,” kata sumber.

Kejadian itu dipercayai menyebabkan pemandu kenderaan terbabit cuba mengelak daripada melanggar pokok tumbang berkenaan sehingga kenderaan yang dinaiki oleh mereka terbabas lalu menjunam masuk ke anak Sungai Merah di bawah jambatan berkenaan.

Bagaimanapun seorang daripada mangsa yang terselamat iaitu Jalang dipercayai berjaya melepaskan diri keluar daripada pintu belakang kenderaan terbabit sebaik sahaja berlaku kejadian manakala mangsa yang lain dipercayai mati lemas kerana terperangkap sebaik sahaja berlaku kemalangan.

Encharang kemudiannya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian terbabit dan seterusnya bertindak menghantar mangsa ke Klinik Pantu sebelum ia dirujuk ke Hospital Bahagian Sri Aman bagi tujuan rawatan lanjut.

Manakala itu mayat ketiga-tiga mangsa yang terbunuh dalam kejadian kemalangan terbabit telah dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman pada jam 7.30 malam tadi bagi tujuan bedah siasat.

Tamat.



No comments:

Post a Comment