Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 October, 2009

Rakyat Malaysia layak jadi Role Model kata Harden


Caption: TAHNIAH...Harden (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang peserta sambil disaksikan oleh (dari kiri) Desmond, Felicia, Shamshuddin dan Delin ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat (16 Okt) – Rakyat Malaysia layak dijadikan sebagai ‘Role Model’ terhadap mana-mana negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Menurut beliau ia disebabkan oleh keunikan sejarah yang pernah ditempuh oleh semua rakyat berbilang kaum dalam negara ini pada suatu masa dahulu sebelum wujudnya perpaduan yang utuh dikalangan mereka sehingga sekarang.

“Malaysia pernah melalui saat yang mencemaskan pada 13 Mei 1969 dahulu apabila timbulnya perselisihan faham mengenai politik di antara kaum Melayu dan Cina sehingga melibatkan pertumpahan darah menerusi peristiwa itu.

“Bagaimanapun peristiwa ini telah mengajar rakyat berbilang kaum dalam negara ini akan betapa pentingnya aspek perpaduan dalam hidup sehingga terjalinnya ikatan hubungan itu dikalangan mereka yang dilihat semakin kukuh pada masa sekarang,” menurut beliau.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Rasmi Program Lawatan Integrasi / Homestay Sempena Hari Malaysia bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Sambil menganggap bahawa program lawatan integrasi itu sebagai platform untuk merapatkan hubungan di antara rakyat dalam negara ini, beliau menerusi ucapannya berharap agar hubungan perpaduan yang kukuh terus berkekalan di masa akan datang.

“Rakyat berbilang kaum dalam negara ini khususnya di Sri Aman harus berusaha mengekalkan hubungan perpaduan sesama mereka agar Malaysia terus menjadi negara contoh terhadap lain-lain negara selepas ini.

“Sayugia diingatkan bahawa kemajuan negara bergantung sepenuhnya kepada faktor ini. Justeru diharapkan agar rakyat berbilang kaum dalam daerah ini terus memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan hubungan berkenaan untuk sepanjang masa,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Negeri Sarawak, Delin Liet Blaun, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Timbalannya, Desmond Douglas Jerukan dan Felicia Tan, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Mohd Yusli Nasir, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Seramai 68 orang peserta dari Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mengambil bahagian dalam Program Lawatan Integrasi / Homestay di Bahagian Sri Aman yang bermula dari 12 hingga 16 Oktober lalu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment