Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 October, 2009

Pendidikan modal hidup kata Nyalau


Caption: RASMI...Nyalau (dua kanan) bersama Rayong (tiga kanan) dan tetamu undangan khas yang lain memotong kek sebagai tanda perasmian majlis tersebut baru-baru ini.

ENGKILILI, Ahad (18 Okt) – Pendidikan kini dianggap sebagai modal yang cukup penting bagi mengubah masa depan hidup seseorang individu itu demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Ia menurut beliau terbukti apabila orang pada zaman dahulu dirayu supaya menyambung pelajaran ke peringkat pengajian yang lebih tinggi berbanding dengan orang pada zaman sekarang.

“Orang zaman sekarang termasuk yang sudah tua pun masih mahu berebut menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi sama ada melalui pendidikan jarak jauh atau sepenuh masa.

“Ia sangat berbeza berbanding zaman dahulu apabila warga pendidik pergi menemui penduduk dan merayu mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sedarat, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman pada Jumaat lalu.

Senario ini menurut beliau sekaligus menyedarkan penduduk bahawa pendidikan merupakan satu keperluan penting dalam hidup dan tidak seharusnya dilepaskan oleh mereka sekiranya mendapat peluang terbabit selepas ini.

“Dengan kata lain anak muda kita pada masa sekarang harus serius ketika menimba ilmu di bangku sekolah kerana jika gagal mereka akan mudah ketinggalan berbanding individu yang serius mahu menimba ilmu terbabit.

“Dunia pada zaman hadapan mungkin menuntut semua penduduk untuk memiliki prestasi akademik yang tinggi. Maka fikir-fikirkanlah,” nasihat beliau.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Yang Dipertua PIBG SK Sedarat, Mohd Zulfakhri bin Abdullah, Pegawai Penerangan JASA Parlimen P2.03 Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba dan Pembantu Luar Kanan JASA Engkilili, Edwin Ancheh.

Beliau pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM8,000 kepada tabung kewangan PIBG SK Sedarat.

Tamata.



No comments:

Post a Comment