Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 October, 2009

Pelbagaikan kemahiran kerja dalam diri ujar Masir


Caption: TERTARIK... Masir (tengah) sambil diiringi oleh August (kiri) dan Zaidi (belakang kanan) ketika melawat salah satu kaunter agensi yang melibatkan diri program penempatan pekerjaan kelmarin.

SRI AMAN, Ahad (11 Okt) – Belia atau beliawanis mesti memiliki lebih daripada satu kemahiran kerja sekiranya mahu bersaing dalam pasaran global pekerjaan dalam negara ini khususnya di Sarawak kata Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penempatan Pekerjaan Bahagian Sri Aman 2009 anjuran Jabatan Tenaga Kerja Sarawak , Kementerian Sumber Manusia di Dewan Suarah Sri Aman kelmarin.

Mesej ini yang turut ditujukan oleh Masir kepada golongan pencari kerja berkata persaingan untuk mencari pekerjaan hanya berlandaskan kepada satu kemahiran saja dalam diri sahaja adalah tidak cukup serta terhad.

“Adalah amat sukar untuk bersaing mencari kerja jika memiliki hanya satu kemahiran. Contohnya ialah jika seorang belia itu hanya tahu mengenai bidang elektrik maka peluang kerjayanya hanya terhad terhadap dalam bidang terbabit.

“Ia amat berbeza berbanding dengan mereka yang memiliki lebih dari satu kemahiran. Jika seseorang itu mempunyai kemahiran bertukang dan memperbaiki mesin maka peluangnya untuk bersaing dalam pasaran kerja terbabit adalah tidak terhad,” katanya.

Justeru atas sebab ini Masir mahu semua belia dan beliawanis mempelbagaikan lagi kemahiran kerja dalam diri masing-masing sekiranya mereka mahu bersaing dalam banyak bidang pekerjaan di negara ini.

“Sayugia diingatkan bahawa ekonomi negara akan berkembang ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang dan seterusnya mewujudkan pasaran kerja yang lebih luas kepada pencari kerja di sini.

“Jika mahu memperoleh peluang yang lebih tinggi untuk mendapat kerja maka para belia dan beliawanis haruslah mula mempertingkatkan kemahiran kerja masing-masing mulai sekarang,” menurutnya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Tenaga Kerja Sarawak, August Buma, Penolong Kanan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Barnabas anak Ahjam, Penolong Kanan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Bahagian Sri Aman, Bruno Jong Kim Wong dan wakil Residen Sri Aman, Zaidi Sarkawi.

Program Penempatan Pekerjaan Bahagian Sri Aman 2009 yang bakal berakhir pada 11 Oktober telah membabitkan penyertaan sejumlah tujuh buah jabatan kerajaan dan 14 buah syarikat swasta.

Tamat.


No comments:

Post a Comment