Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 October, 2009

Masing dedah tiga golongan individu yang boleh timbulkan barah dalam parti


Caption: MULA...Roslind (dua kanan) ketika sedang mempengerusi sesi soal jawab sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Masing, Doris dan Mong ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (3 Okt) – Kewujudan tiga jenis golongan individu dalam sesebuah parti politik boleh menimbulkan ‘barah’ terhadap parti itu sendiri sekiranya kesemua golongan berkenaan gagal disatukan di bawah satu perjuangan parti.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Dr James Jemut Masing berkata tiga golongan individu terbabit adalah ahli politik yang gemar mencari populariti, ahli politik yang memasuki parti semata-mata untuk meraih untung niaga dan ahli politik yang ikhlas berjuang untuk kebajikan hidup rakyat.

“Penyakit barah yang ditimbulkan oleh ketiga-tiga golongan ahli politik yang berlainan niat dalam parti ini menyebabkan tindakan penyelesaian krisis berhubung masalah itu menjadi agenda utama parti berbanding rancangan untuk mempertingkat kebajikan hidup rakyat.

“Justeru ia menjadi satu tugasan yang cukup sukar untuk pemimpin parti menyatukan ketiga-tiga golongan ini bagi bersama-sama memperjuangkan kebajikan hidup rakyat daripada mewujudkan masalah sehingga menjurus kepada hal krisis dalaman parti,” katanya.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian ketika menyampaikan seminar bertajuk Adversity, Diversity and Unity (Kesusahan, Kepelbagaian dan Penyatuan) menerusi Program Bengkel Bina Semangat anjuran Pergerakan Wanita PRS bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu katanya setiap ahli parti termasuk PRS harus bijak memerhatikan ahli politik yang mempunyai ciri berkaitan dengan tiga jenis golongan individu berkenaan demi kebaikan mereka sendiri.

Menurut Masing ahli politik yang memasuki parti semata-mata untuk meraih untung niaga adalah merupakan golongan paling berbahaya dalam parti politik itu sendiri berbanding dengan ahli politik yang hanya gemar mencari populariti dikalangan rakyat.

“Golongan individu yang menceburi politik hanya semata-mata untuk meraih glamour (populariti) adalah lebih baik berbanding mereka yang mahu mencari peluang perniagaan memandangkan golongan itu tidak mengugat kesatuan dalam parti.

“Bagaimanapun golongan yang mencari peluang niaga adalah paling merbahaya kerana mereka ini akan mewujudkan kroni dan seterusnya hanya mahu mengaut keuntungan hasil niaga untuk diri sendiri,” menurut beliau.

Justeru kebajiksanaan ahli parti terletak pada kuasa undi mereka bagi menentukan golongan mana yang sewajarnya berada dalam sesebuah parti politik itu sendiri di masa akan datang.

Hadir sama ialah Ketua Pemuda PRS, Mong Dagang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong Dagang, Ketua Pergerakan Wanita PRS, Doris Sophia Brodie dan pengerusi majlis itu Roslind Neging.

Sejumlah 99 orang peserta mengambil bahagian dalam Program Bengkel Bina Semangat anjuran Pergerakan Wanita PRS bertempat di Dewan Suarah Sri Aman yang bermula pada jam 8.15 pagi tadi.

Tamat.


No comments:

Post a Comment