Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 October, 2009

Isu: Marina Unau tak dapat masuk U sebab bukan Bumiputera


Caption: BUKAN BUMIPUTERA? Unau (kanan sekali) sedang menunjukkan surat maklumbalas berhubung isu terbabit ketika ditemui di kediamannya hari ini. Turut kelihatan ialah isteri beliau, Wong (kiri) dan anaknya Marina (tengah).

SRI AMAN, Rabu (28 Okt) – Seorang bapa, Unau anak Liap melahirkan rasa tidak puashati apabila anak perempuannya, Marina tidak layak menyambung pelajaran ke program matrikulasi atau Institusi Pengajian Tinggi pada tahun ini gara-gara dikelaskan sebagai Bukan Bumiputera.

Marina, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang yang memperoleh keputusan 9A 1B pada ujian SPM tahun lepas adalah merupakan anak kedua Unau hasil perkongsian hidupnya bersama isteri berketurunan Cina iaitu Wong Pick Sing.

Unau ketika ditemui oleh pemberita di kediamannya di Lorong 2, Pasir Panas hari ini berkata beliau telah mengemukakan rayuan menerusi sistem e-Rayuan apabila anak perempuan langsung tidak mendapat sebarang tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke matrikulasi atau IPT walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam ujian terbabit.

“Saya kemudiannya mengemukakan masalah kegagalan anak saya untuk melanjutkan pengajian ke matrikulasi atau IPT terbabit dengan menghantar surat rasmi kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia pada 1 Julai tahun ini.

“Bagaimanapun menerusi surat maklumbalas yang dihantar oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri pada 21 Julai, anak saya Marina dikelaskan sebagai Bukan Bumiputera kerana Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) Sarawak menyatakan bahawa seseorang itu hanya dianggap seorang Bumiputera jika ibu dan bapanya adalah merupakan seorang Peribumi Sarawak,” jelas beliau.

Ia menurut Unau berbeza dengan status kedudukan Bumiputera bagi pemohon dari Sabah dan Semenanjung Malaysia berbanding dengan status kedudukan Bumiputera di Sarawak.

Ini kerana menurut maklumbalas itu menyatakan bahawa bagi Semenanjung Malaysia: Jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam / Orang Asli seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan; maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

“Bagi Sabah pula jika bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam / Peribumi Sabah seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 161A (6)(a) Perlembagaan Persekutuan; maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

“Tiada ertinya perlaksanaan konsep 1Malaysia jika perkara seumpama ini berlaku. Justeru saya berharap agar kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu pendidikan yang melibatkan soal status Bumiputera dan Bukan Bumiputera bagi seseorang individu di negara ini,” menurut Unau.

Walaupun anak keduanya Marina tidak layak menyambung pelajaran ke matrikulasi namun anak sulungnya menurut beliau iaitu Christina Undau telah pun berjaya menyambung pelajaran ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang kini menuntut dalam Tahun 2 di situ.

“Saya sedar tiada gunanya masalah kegagalan anak saya iaitu Marina diselesaikan sekarang memandangkan dia kini sudah pun menyambung pelajaran ke Tingkatan 6 SMK Simanggang.

“Cuma saya bimbang sekarang ialah sekiranya isu yang sama berulang kembali terhadap Marina sekiranya beliau lulus cemerlang dalam ujian Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia pada tahun hadapan,” menurut beliau.

Unau bersama isteri sudah pun mengajukan masalah ini kepada Menteri Muda Kemajuan Tanah iaitu Datuk Francis Harden anak Hollis dan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berhubung isu terbabit.

Tamat.


1 comment:

  1. mlm tu aku ngambi sambiang ba Rumah sida, besampi beselamat ke Marina ti deka nyambung belajar.- Cate. Rod.

    ReplyDelete