Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 October, 2009

2010 - Tahun transformasi hebat bandar Sri Aman kata Harden

SRI AMAN, Selasa (13 Okt) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis yakin bandar Sri Aman akan mengalami transformasi pembangunan yang lebih pesat mula tahun 2010 kelak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Bahagian Sri Aman bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

“Anda boleh lihat bahawa sekarang Stesen Pemerhati Benak, Taman Tebingan Batang Lupar, Bandar Baru Sri Aman dan projek penanaman sawit terhadap 100,000 hektar tanah kini sedang giat dilaksanakan di Sri Aman.

“Jika kesemua projek ini sudah siap kelak maka bandar Sri Aman akan mengalami proses transformasi pembangunan yang lebih hebat mulai tahun 2010 kelak berbanding sekarang,” katanya.

Atas sebab ini Harden telah merakamkan penghargaannya terhadap pihak kerajaan di atas usaha mereka untuk memperhebatkan proses transformasi pembangunan di bandar Sri Aman dan kawasan sekitarnya.

“Projek penanaman sawit misalannya akan memberi impak pembangunan terhadap penduduk di kawasan luar bandar di Sri Aman begitu juga dengan projek pembinaan Stesen Pemerhati Benak serta Taman Tebingan Batang Lupar yang bakal mempertingkat sektor pelancongan di sini.

“Ini tidak termasuk projek Bandar Baru Sri Aman yang sedang giat dibina sekarang. Justeru semua rakyat di Sri Aman harus berterima kasih terhadap kerajaan kerana taraf hidup mereka bakal dipertingkat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” menurut beliau.

Terdahulu Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud telah merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Bahagian Sri Aman di sini yang merupakan anjuran Jawatankuasa Perayaan Islam Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan N.23 Lingga.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim, Pengerusi pengelola majlis merangkap ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, para wakil rakyat Barisan Nasional dan pegawai kerajaan di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment