Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 May, 2009

Rakyat Sri Aman masih selamat - Jusoh


SRI AMAN, Selasa (5 Mei) – Penduduk dalam daerah Sri Aman tidak perlu bimbang terhadap keselamatan nyawa dan harta benda milik diri masing-masing berdasarkan kepada kadar indeks jenayah yang masih rendah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad ketika ditemui Utusan Sarawak turut menjelaskan bahawa tahap keselamatan penduduk dalam daerah ini turut didokong oleh penurunan sebanyak 16 peratus kadar indeks jenayah.

“Penurunan kadar indeks jenayah sebanyak 16 peratus untuk perbandingan bagi bulan Januari hingga April tahun ini berbanding bulan Januari hingga April 2008 menunjukkan bahawa kerjasama di antara pihak polis dan penduduk telah berjaya mengurangkan kadar jenayah dalam daerah ini.

“Pihak polis dan penduduk perlu terus mengekalkan hubungan kerjasama yang erat bagi memastikan kadar indeks jenayah ini menurun demi memastikan keselamatan diri mereka dan harta benda terus terjamin dari masa ke semasa,” katanya.

Selain itu beliau juga turut mengingatkan pihak media agar tidak membuat berita mengenai sesuatu kes jenayah tanpa merujuk kepada pihak polis terlebih dahulu.

Ianya menurut Jusoh adalah amat penting demi mengelakkan wujudnya kekeliruan dikalangan penduduk dalam daerah ini berhubung berita mengenai kes jenayah yang telah dibuat oleh mereka (media) tanpa rujukan pihak polis terlebih dahulu.

“Hanya Ketua Polis Daerah (KPD) atau pegawai yang diberi kuasa oleh KPD sahaja yang boleh mengeluarkan kenyataan berita terhadap pihak media berhubung kes yang melibatkan siasatan pihak polis.

“Justeru saya meminta pihak media tidak membuat sebarang berita melibatkan kes jenayah atau lain-lain kes dalam siasatan pihak polis tanpa merujuk fakta sahih daripada pihak kita terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu Jusoh telah menyaksikan tiga upacara serah tugas telah berlangsung di Bilik Mesyuarat, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman yang bermula pada jam 9 pagi hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Cawangan Khas IPD Sri Aman iaitu ASP Melay Tingom, Ketua Siasatan Jenayah IPD Sri Aman, ASP Sazali Latif, para pegawai kanan dan anggota pangkat rendah IPD Sri Aman.

Tamat.


No comments:

Post a Comment