Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 May, 2009

Prestasi guru sarawak membanggakan kata Jaidah


Caption: TAHNIAH...Jaidah (kiri) sedang menyampaikan sijil kepada seorang guru (kanan) sambil disaksikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Jumaat (22 Mei) – Nama Sarawak semakin harum apabila seramai enam orang guru dari negeri ini berjaya memenangi pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan menerusi sebuah majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Terengganu pada 15 Mei lalu.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Sarawak (JPS) Jaidah binti Mohd Alleh berkata enam orang guru berkenaan adalah Liong Shou Chuan, Ngu Ming Ung, Wong Chao Kiong, Lydia Sim Chiew Li, Chiew Hua Ming dan Ngo Boi Huang.

“Liong dan Ngu iaitu masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacret Heart Sibu telah muncul sebagai pemenang Anugerah Pemimpin Dalam Teknologi Maklumat dan Anugerah Guru Dalam Teknologi Maklumat.

“Manakala itu Wong dari SMK Green Road, Kuching pula telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ke-3 bagi Peraduan Menulis Esei Bahasa Inggeris (Kategori Guru) sambil diikuti oleh Lydia Sim dari SK Segong, Bau yang muncul sebagai pemenang tempat ke-3 Kategori Individu bagi Anugerah Guru Inovatif, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Desiran Benak Bumi Kenyalang 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Dua orang lagi guru iaitu Chiew dan Ngo dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Taman Rajang, Sibu pula menurut Jaidah telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ke-2 Anugerah Guru Inovatif bagi Kategori Kumpulan Sekolah Rendah.

“Ini pencapaian yang cukup membanggakan bagi semua guru dari negeri Sarawak kerana mampu bersaing dalam pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan pada masa sekarang.

“Justeru saya berharap agar para guru dari negeri ini mampu mengulangi prestasi yang lebih memberangsangkan berbanding sebelum ini di pertandingan peringkat kebangsaan yang akan datang,” katanya.

Malam Desiran Benak Bumi Kenyalang 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Tamat.

No comments:

Post a Comment