Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 May, 2009

Perkenal konsep 1 Anak Sarawak - Taib




Caption:

1.UNTUK ALBUM...Pehin Sri Taib merakamkan gambar kenang-kenangan bersama dua penerima Tokoh Guru Sarawak 2009 iaitu Alban Sanggat Bilie (kanan beliau) dan Haji Badi Haji Mohd Nuawi (kiri) beliau ketika berlangsung majlis hari ini. Turut kelihatan ialah (dari kiri sekali) Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Datuk Francis Harden dan Dr Haji Julaihi (kanan sekali).

1.RASMI...Pehin Sri Taib sedang menyempurnakan majlis kemuncak Perayaan Hari Guru 2009 sambil disaksikan oleh para dif kehormat ketika berlangsungnya majlis di sini hari ini.
SRI AMAN, Khamis (21 Mei) – Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud mencadangkan agar diwujudkan konsep 1 (Satu) Anak Sarawak bagi mendokong konsep ‘1 Malaysia’ yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Menurut beliau pengenalan konsep Anak Sarawak adalah amat penting bagi menghimpunkan semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi memajukan Sarawak di masa akan datang.

“Perkara ini jika kita sedari dan amalkan maka sudah tentu akan dapat membentuk sebuah konsep 1 Anak Sarawak yang seterusnya menjadi contoh kepada mana-mana pihak yang mahu memperjuangkan konsep 1 Malaysia.

“Dengan adanya gabungan kedua-dua konsep ini kelak, saya percaya semua pihak dapat bersama-sama untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang cemerlang dan gemilang menjelang tahun 2020 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perayaan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu Pehin Sri Taib juga berkata bahawa kerajaan kini sudah pun maju dalam melaksanakan segala projek pembangunan di negeri ini walaupun Malaysia dikelaskan sebagai sebuah negara membangun.

“Hasil daripada cara perlaksanaan pembangunan kita yang kian maju, semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini sudah pun menikmati perubahan taraf hidup yang ketara apabila sejuta daripada 2.5 juta penduduk Sarawak kini mampu memiliki kenderaan masing-masing.

“Justeru Sarawak memerlukan tenaga kerja yang berterusan sekiranya mahu mencapai status negeri maju dan ianya bergantung kepada kecekalan para guru untuk melaksana tugas mendidik bakal pewaris pembangunan negara menjelang tahun 2020 kelak,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Hajah Fatimah Abdullah, para wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Haji Julaihi Haji Bujang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai kerajaan dan guru dari seluruh negeri ini.

Kemuncak majlis berkenaan telah diserikan dengan simbolik perasmian majlis oleh Pehin Sri Taib, majlis penyampaian Anugerah Tokoh Guru Negeri Sarawak 2009, persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian lagu Nasyid serta penyampaian puisi bersempena sambutan Hari Guru 2009.

Tamat.

No comments:

Post a Comment