Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 June, 2011

Sarjan (B) Empaga Kijang : Pengorbanan seorang anggota Pasukan Polis Hutan yang dilupakan



Caption: INI SAJA...Empaga (kanan) bersama menantunya ketika menunjukkan surat penghargaan yang beliau terima atas sumbangan menentang pengganas komunis pada masa dahulu.

- 9 JUn

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia pada masa dahulu pernah diwarnai dengan pelbagai peristiwa hitam yang turut membabitkan penduduk negeri Sarawak.

Ia termasuklah ancaman konfrantasi Malaysia – Indonesia yang bermula dari tahun 1962 hingga 1966, ancaman Parti Komunis Malaysia dari tahun 1948 hingga 1960 dan bersambung semula dari tahun 1968 hingga 1989 serta peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Penduduk Sarawak nyata tidak terlepas daripada ancaman ini apabila berhadapan dengan Konfrantasi Malaysia – Indonesia dan ancaman komunis oleh Pasukan Rakyat Komunis Kalimantan Utara @ PARAKU iaitu cabang bersenjata bagi Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) dari tahun 1971 hingga 1990.

Kemunculan PKKU yang dilihat bergabung dengan Parti Komunis Malaya @ PKM untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia bagi kali kedua ini secara tidak langsung telah menuntut pengorbanan pihak tentera dan polis bagi menangani ancaman pengganas itu.

Tekanan berterusan yang dikenakan oleh Kerajaan Malaysia menerusi pengorbanan tentera dan polis ini akhirnya berjaya menamatkan ancaman pengganas komunis sehingga menjurus kepada Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989 (Kerajaan Malaysia dan PKM ) dan PKKU pada 17 Oktober 1990.

Pengorbanan para tentera dan polis yang berjuang menentang keganasan komunis pada era waktu berkenaan telah mendapat penghargaan dengan pemberian pingat dan insentif kewangan daripada kerajaan.

Bagaimanapun cukup menyedihkan sekiranya masih terdapat anggota keselamatan yang masih belum menerima penghargaan sewajarnya daripada pihak kerajaan berhubung jasa dan pengorbanan mereka ketika berjuang menentang pengganas komunis di Sarawak pada waktu itu.

Ia terbukti apabila Sarjan (bersara) Errol Empaga @ Empaga anak Kijang dari Rumah Gimang, Basi, Batang Ai, Lubok Antu, iaitu salah seorang pesara polis dari unit Pasukan Polis Hutan @ PPH (kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am) tidak mendapat penghargaan sewajarnya daripada kerajaan berhubung isu terbabit.

Dilahirkan pada 1 Januari 1945, Empaga buat pertama kalinya menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia pada 1963 dengan menjalani latihan selama sembilan bulan di PULAPOR, Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja tamat latihan, beliau ditugaskan ke Pusat Latihan Polis, Bukit Siol, Petra Jaya, Kuching pada tahun 1964 sebelum berpindah tugas ke Kompeni F, PPH di Kem Lanang, Sibu pada tahun 1965.

Empaga mula menerima pengalaman pertama dalam operasi mengempur pasukan komunis (PARAKU) sebaik sahaja berpindah tugas ke Batalion Ke-15 PPH Kem Temudok, Sri Aman pada tahun 1968.

Pada suatu hari dalam tahun 1968, beliau bersama anggota dari tiga buah platun PPH yang diketuai oleh Inspektor Dimbut telah diarah ke Titok, Engkilili setelah menerima laporan mengenai pergerakan komunis di situ.

“Kami mengendap semalaman dalam hutan di Titok untuk menunggu kedatangan mereka dan keesokan harinya seorang anggota komunis mati manakala seorang lagi yang cedera bertindak melarikan diri setelah digempur oleh anggota dari kawasan kepungan lain pada malam itu,” katanya ketika ditemubual Utusan Sarawak hari ini.

Empaga tidak bertempur dalam operasi itu sehinggalah peristiwa hitam pertama menghantui diri beliau ketika diarah untuk menyertai Program Jiwa Murni di sebuah perkampungan di Lachau, Pantu, Sri Aman pada 27 Disember 1970.

Pada waktu pagi hari berkenaan, beliau bersama 12 orang anggota PPH yang lain telah berangkat dari Kem Temudok, Sri Aman dengan menggunakan sebuah trak (konvoi pertama) dan kereta perisai (konvoi kedua).

Dengan bersenjatakan senapang automatik M-16, Empaga bersama empat orang anggotanya menumpang kereta perisai yang ketinggalan kira-kira 10 minit perjalanan daripada pasukan konvoi pertama berkenaan.

“Tiba-tiba pada jam 9 pagi, dipercayai seramai 18 orang anggota komunis yang terbahagi kepada tiga buah kumpulan bertindak menyerang hendap kenderaan perisai kami ketika sedang melalui kawasan antara perkampungan Ran dan Punggu, Sri Aman.

“Saya membalas tembakan menerusi lubang peninjau di kenderaan perisai ketika itu sebelum kenderaan kami terkandas di kawasan Bukit Begunan iaitu kira-kira 100 meter dari kawasan serangan setelah tayar pancit akibat serangan komunis terbabit,” katanya.

Setelah mengambil posisi berkubu di tebing jalan, Empaga bersama Lans Kopral Tajau Siong terus menggunakan senjata Bren dari dalam kenderaan perisai itu dan menembak secara rambang ke arah kedudukan serang hendap musuh.

“Kemudiannya seorang rakan mendapati bahagian belakang kepala saya berdarah dipercayai terkena tembakan peluru musuh ketika berlaku serangan hendap berkenaan,” katanya sambil menambah pasukan penyelamat kemudiannya tiba dan beliau dihantar ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.

Empaga yang dilantik ke pangkat Kopral pada tahun 1971 dan berpindah tugas ke Briged PPH, Kuching kemudiannya sekali lagi terlibat dalam pertempuran dengan komunis di kawasan Semenggok, Kuching bersama dengan Kompeni C dan A Batalion Ke-14 PPH.

“Saya masih lagi ingat apabila beberapa biji bom tangan tidak meletup setelah dilontar oleh anggota kita ke arah pihak komunis yang kemudiannya melarikan diri setelah satu jam setengah pertempuran,” katanya.

Beliau bersama Kopral Dennis Sim kemudiannya dipertanggungjawab untuk menangkap seorang anggota komunis yang menyerah diri setelah terkepung dalam pertempuran itu dengan seorang lagi mayat masih tertinggal di tempat persembunyian.

Setelah berkhidmat selama setahun di Briged PPH, Kuching, Empaga kemudiannya berpindah tugas ke Batalion Ke-18 PPH, Miri sebelum berpindah tugas semula ke Batalion Ke-15 PPH di Kem Lanang, Sibu pada tahun 1977.

“Pengalaman paling berharga saya yang sebenar berlaku pada 25 Mei 1978 memandangkan pada hari itu kami telah ditugaskan ke Ulu Naman, Sibu setelah menerima laporan mengenai pergerakan komunis di situ.

“Saya bersama 13 orang anggota yang diketuai oleh Sarjan Ricky Muan tiba di Ulu Naman pada jam 4 petang dan hasil laporan penduduk, kami mendapati bahawa kumpulan komunis yang diketuai oleh Eei Poh Yap sedang berada di kebun lada milik mereka,” katanya.

Mereka kemudiannya bertindak menyusup ke kawasan kebun lada sebelum bertembung dengan dua orang anggota komunis yang dipercayai menjadi sentri (pengawal) ke laluan masuk kebun lada berkenaan.

Tanpa melengahkan masa, Empaga bersama pasukannya terus melepaskan tembakan terhadap anggota komunis lelaki dan wanita terbabit sehingga menyebabkan kedua-dua mereka terbunuh.

“Mayat komunis wanita kami temui pada keesokannya memandangkan hari semakin gelap ketika berlaku pertempuran...malang buat kedua-dua komunis terbabit apabila senapang buatan sendiri mereka gagal berfungsi,” katanya.

Pasukan komunis yang diketuai oleh Eei Poh Yap dipercayai melarikan diri selepas itu dengan dua pucuk senapang patah buatan sendiri, empat butir bom, 15 butir peluru, ubat-ubatan dan makanan berjaya dirampas daripada kedua-dua mayat pengganas berkenaan.

“Saya bersama anggota yang lain telah menerima surat penghargaan berhubung kejayaan terbabit,” kata suami kepada mendiang Sinda anak Gadoh dan bapa kepada tiga orang anak lelaki serta dua orang anak perempuan berkenaan.

Bagaimanapun Empaga yang telah bersara dengan berpangkat Sarjan dalam perkhidmatan polis di Kem Temudok, Sri Aman pada tahun 2000 lepas seolah-olah merasai bahawa jasa dan pengorbanan beliau tidak dihargai kerajaan.

Beliau menjadi lebih terkilan apabila tidak dipanggil untuk menerima wang sumbangan bernilai RM1,000 yang diberikan oleh kerajaan terhadap mana-mana bekas anggota polis yang pernah berkhidmat ketika era darurat dahulu (1968 -1972) di Sarawak.

“Apa yang saya terima hanyalah surat penghargaan...tiada pingat dan tiada sumbangan wang penghargaan. Saya tidak meminta semua ini namun jika nyawa kami pertaruhkan untuk keselamatan hidup penduduk maka wajarlah pengorbanan ini mendapat balasan setimpalnya dari kerajaan,” kata beliau dengan begitu kesal.

Empaga sudah memohon sebanyak dua kali daripada pihak atasan berhubung sumbangan wang berkenaan namun masih tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak terbabit.

Kini, dengan usia sudah pun mencecah 66 tahun, beliau hidup bersendirian di Taman Tiara dengan hanya menikmati baki pencen sebanyak RM540 setelah melalui potongan pembayaran rumah dan lain-lain belanjawan.

“Semua anak saya sudah pun berkahwin. Namun mereka tidak dapat membantu memberi belanja wang terhadap saya disebabkan oleh faktor kurang mampu berhubung kekurangan pendapatan,” kata beliau yang telah kematian isteri pada tahun 2009 lepas.

Justeru Empaga merayu agar kerajaan menimbang semula jasa dan pengorbanan beliau ketika berjuang selama 34 tahun dalam pasukan polis hutan (PPH) selama ini dengan memberikan sumbangan sewajarnya terhadap kebajikan hidup beliau selepas ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment