Caption: SEDIA...Dr Rayong (dua kiri) bersama tetamu undangan khas yang lain sebelum menyempurnakan upacara memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis itu.
ENGKILILI (28 Jun) - Anak-anak adalah ‘tulang belakang’ kepada proses pembangunan negara pada masa akan datang tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong anak Ngipa.
Beliau berkata anak-anak pada hari harus dianggap sebagai ‘permata berharga’ yang perlu ‘digilap’ pada peringkat usia awal mereka terutama sekali ketika mereka masih menuntut di bangku sekolah.
“Anak-anak perlu digilap untuk menjadi modal insan berkualiti di masa akan datang memandangkan negara khasnya negeri kita Sarawak amat memerlukan tenaga kerja profesional sekiranya mahu mencapai status negeri maju selepas ini.
“Justeru saya meminta ibubapa bersikap lebih proaktif dalam mendidik anak-anak ketika berada di rumah mulai sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Tikai 2011 anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Engkilili No.2 baru-baru ini.
Selain itu Rayong juga meminta ibubapa dan para guru sekolah untuk terus bekerjasama bagi mempertingkatkan kecemerlangan akademik anak-anak demi kebaikan masa depan hidup mereka.
Menerusi PIBG, para ibubapa dan guru boleh duduk berbincang bersama untuk mencari langkah serta jalan penyelesaian bagi membolehkan anak-anak menguasai akademik dengan lebih baik.
“Pendidikan merupakan elemen yang amat penting untuk maju dalam hidup. Maka atas sebab ini tanggungjawab mendidik anak-anak perlu dipikul oleh pihak ibubapa dan bukan hanya terletak pada bahu pihak guru semata-mata,” katanya.
Terdahulu Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Tabung PIBG SK Engkilili No.2 demi membolehkan mereka melaksana pelbagai aktiviti selepas ini.
Turut hadir adalah Guru Besar SK Engkilili No.2, Kulok anak Laga, Yang Dipertua PIBG SK Engkilili No.2, Ring Labang, Temenggong Wilson, Penghulu Gerang Ancheh, Penghulu Rangkong dan para Tuai Rumah dari sekitar Engkilili.
Tamat.
No comments:
Post a Comment