Caption: INGIN CUBA...Ian bersama isteri, Darra bergambar kenangan sebelum pasangan ini dibantu oleh pihak Residen Sri Aman untuk ke kawasan hilir Sungai Batang Lupar bagi tujuan meluncur ombak.
SRI AMAN, Jumaat (17 Jun) – Usaha mempromosi Benak di Sungai Batang Lupar Sri Aman selama ini nyata membuahkan hasil apabila ia menarik kedatangan sepasang peluncur ombak dari luar negara hari ini.
Ian Hockiy, 57, dari New South Wales, Australia yang sedang bercuti selama seminggu di Malaysia bersama isteri iaitu Darra Hockiy, 35, dari Mindanao, Filipina telah tiba di Sri Aman hari ini untuk cuba meluncur ombak benak di Sungai Batang Lupar pada petang hari ini.
“Saya mendapat tahu tentang potensi meluncur ombak di Sungai Batang Lupar, Sri Aman setelah terbaca sebuah majalah mengenai sukan terbabit pada tahun 2009 dan seterusnya melakukan carian di internet semenjak itu.
“Peluang akhirnya tiba apabila saya bercuti di Malaysia selama seminggu. Kesempatan terbabit saya gunakan untuk bertandang ke Sri Aman bagi menguji aktiviti luncur ombak di Sungai Batang Lupar pada hari ini,” katanya ketika ditemubual oleh Utusan Sarawak dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman hari ini.
Beliau turut menambah ia merupakan kali pertama buat dirinya menguji sukan terbabit di ombak (benak) dalam kawasan sungai setelah meluncur ombak lautan selama 46 tahun di serata dunia antaranya ialah di Australia, New Zealand, Hawai dan Amerika.
Ian yang merupakan juara Kategori 45 Tahun Ke Atas bagi Kejohanan Sukan Long Board Title Australia 2003 turut memberitahu bahawa akan membawa beberapa orang rakannya untuk meluncur di benak Sungai Batang Lupar di masa akan datang.
“Jika anda tanya sama ada saya risau mengenai kewujudan buaya di sini maka jawapannya adalah ‘tidak’ memandangkan saya sering meluncur di lautan yang mempunyai banyak ikan jerung berbahaya. Ini merupakan perkara biasa buat saya,” katanya sambil berseloroh.
Beliau juga memuji penduduk Sri Aman sangat mesra dan mudah didekati walaupun tidak menyedari bahawa Pesta Benak akan berlangsung dalam bandar ini bermula 1 hingga 4 Julai kelak.
Terdahulu Ian yang berketinggian 5 kaki 4 inci itu pernah memiliki Restoran Ala Mexico di negara kelahirannya sebelum bersara dalam dunia perniagaan dengan menjual restoran terbabit kepada pihak lain beberapa tahun lepas.
Tamat.
No comments:
Post a Comment