LUBOK ANTU, Ahad (26 Jun) – Penduduk Lubok Antu kini tidak perlu bersusah payah untuk ke bandar lain jika mahu melakukan urusan perbankan selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.
Ini kerana menurut Nyalau Pekan Lubok Antu sudah pun mempunyai cawangan Agro Bank yang sudah pun beroperasi demi memudahkan urusan perbankan penduduk di situ baru-baru ini.
“Permohonan mengenai penubuhan sebuah bank di Lubok Antu telah pun saya lakukan semenjak bersidang di parlimen pada tahun 2009 memandangkan penduduk di sini terpaksa pergi ke Bandar Sri Aman atau Betong bagi tujuan itu.
“Justeru saya berharap agar semua penduduk Lubok Antu bersama-sama menghargai kemudahan terbabit dengan memastikan ia sentiasa selamat untuk sepanjang masa,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Agro Bank cawangan Lubok Antu di pekan berkenaan baru-baru ini.
Selain itu Nyalau juga berharap agar pembukaan Agro Bank cawangan Lubok Antu terbabit akan dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk pada masa akan datang.
Beliau juga berharap agar penduduk Lubok Antu dapat memanfaat kemudahan bank berkenaan untuk menyimpan wang dengan lebih selamat demi kebaikan masa depan masing-masing mulai sekarang.
“Penduduk Lubok Antu dari kawasan rumah panjang boleh ‘menabung’ di Agro Bank mulai sekarang tanpa rasa bimbang terhadap keselamatan simpanan kewangan masing-masing selepas ini.
“Wang yang mereka simpan di dalam bank boleh digunakan kelak untuk pelbagai urusan penting terutama sekali perkara yang berkaitan dengan hala tuju pendidikan anak-anak kelak,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment