Caption: MENARIK... Program Penempatan Pekerjaan memberi peluang kepada pencari kerja dari kawasan Sri Aman untuk mencari kerja masing-masing selepas ini.
SRI AMAN, Khamis (16 Jun) – Berita baik untuk penduduk dalam Bandar Sri Aman. Jabatan Tenaga Kerja Sarawak akan menganjurkan Program Penempatan Pekerjaan Bahagian Sri Aman 2011 pada 18 Jun ini.
Penolong Kanan Pengarah tenaga Kerja Sri Aman, Bruno Jong Kim Luing menerusi siaran beritanya memberitahu Program Penempatan Pekerjaan yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman itu nanti akan bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Program Penempatan Pekerjaan ini bertujuan untuk membantu para pencari kerja dari sekitar kawasan Sri Aman dan yang berdekatan untuk mendapatkan pekerjaan masing-masing.
“Dalam masa yang sama Program Penempatan Pekerjaan ini juga secara tidak langsung dapat membantu para majikan mengisi kekosongan jawatan di organisasi masing-masing,” katanya.
Untuk menjayakan program ini sebanyak 50 buah majikan dari pelbagai agensi katanya akan terlibat dalam program tersebut dengan menawarkan lebih daripada 600 buah kekosongan jawatan kepada pencari kerja.
Beliau turut menambah sejumlah empat buah aktiviti akan berlangsung pada program itu nanti antaranya ialah pendaftaran pencari kerja secara online, temuduga terbuka, pameran kerjaya dan khidmat nasihat undang-undang perburuhan.
“Justeru para pencari kerja dari kawasan Sri Aman dan sekitarnya dinasihatkan untuk mengambil peluang tersebut bagi bertemu duga dengan para majikan yang terlibat dalam program itu kelak.
“Para pencari kerja juga dinasihat agar membawa bersama sijil persekolahan bagi tujuan temu duga dan pendaftaran menerusi Program Penempatan Pekerjaan ini nanti,” menurut beliau.
Tamat.
No comments:
Post a Comment