Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 June, 2010

RM20 juta lagi untuk upgrade RES di Simanggang secara total - Harden


Caption: ADAT...Harden (dua kanan) bersama Lanting (tiga kiri) bersama tetamu jemputan ketika menyempurnakan upacara Ngiling Tikai pada majlis berkenaan.

SRI AMAN, Sabtu (19 Jun) –Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) akan siap sepenuhnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang jika kerajaan menyalur sejumlah RM20 juta untuk tujuan berkenaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata setakat ini hanya sejumlah 80 peratus penduduk dalam kawasan DUN Simanggang mempunyai mempunyai akses terhadap penggunaan bekalan RES berkenaan.

“Kerajaan kini masih memberi fokus terhadap projek penyediaan RES bagi penduduk dari kawasan Ulu Paku dan Undop dalam kawasan Batu Lintang, Sri Aman pada masa sekarang.

“Saya yakin jika peruntukan sebanyak RM20 juta dapat disalurkan untuk tujuan itu maka kesemua 100 peratus penduduk dalam kawasan DUN Simanggang akan mempunyai akses terhadap RES selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam bersempena dengan Ngiling Tikai Gawai Dayak 2010 anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Unit Kampung Putit di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.

Selain itu Harden yang juga ADUN Simanggang berharap Loji Perawatan Air Empango, Bayai dapat dinaiktaraf menerusi RMK10 bagi membolehkan lebih ramai penduduk mempunyai akses terhadap bekalan air bersih selepas ini.

“Hampir 80 peratus penduduk dalam kawasan saya kini mempunyai akses terhadap bekalan air bersih. Justeru jika peruntukan dapat disalurkan untuk menaiktaraf loji Empango maka akses penduduk terhadap bekalan air akan dapat diperluas hingga ke kawasan Gran, Bijat dan Ulu Undop pada masa akan datang,” katanya.

Harden juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memohon peruntukan bagi menaiktaraf atau membina Hospital Bahagian Sri Aman yang baru di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi SIDS Unit Putat, Lanting Bansi, Tuai Rumah Putat, Edwin Radin, Timbalan Pengerusi Ahli MDSA, Kanselor Jimmy Chong, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas, Pengerusi SDNU Sri Aman, Roland Demong Radin, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia Sri Aman, Nalang Selingau dan ketua kaum di sini.

Harden pada majlis itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada SIDS Unit Putat dan RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Edwin.

Majlis diserikan lagi dengan upacara Ngiling Tikar, penyampaian insentif kepada pelajar cemerlang, nyanyian lagu karaoke, cabutan tiket bertuah dan persembahan nyanyian lagu tajaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment