Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 December, 2009

Sanie juara bintang kecil RTM Sri Aman kategori Melayu




Caption:

1.UNTUK ALBUM...Leftenan Norazli (tengah) bersama Ruth (kanan beliau) bergambar kenangan bersama kakitangan pengelola pertandingan dan para peserta pemenang sebaik sahaja pertandingan tersebut kelmarin.

2.BERBAKAT...Adelynna sedang mempersembahkan nyanyian lagunya ketika berlangsungnya pertandingan itu di RTM Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (12 Dis) – Muhd Sanie Abdul Halim muncul juara bagi Kategori Lagu Melayu Pertandingan Bintang Kecil 2009, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman yang berlangsung di Pentas Utama Hiburan, Stesen RTM Sri Aman petang kelmarin.

Halim yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM50 dan sijil telah dinobatkan sebagai juara setelah persembahan lagu beliau berjudul Cik Mek Molek berjaya menambat hati empat orang hakim pada pertandingan terbabit.

Adelynna Yang Tze Wee pula muncul sebagai naib juara bagi kategori tersebut menerusi persembahan lagu berjudul Baju Hijau manakala Nur Khairulnisa Isahak muncul pemenang tempat ke-3 menerusi persembahan lagu berjudul Diam Diam Aku Jatuh Cinta.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30 dan RM20 beserta sijil penyertaan untuk setiap seorang. Sia Lei Ching dan Nurkhafieza Syuhada Mazlan pula muncul pemenang saguhati menerusi Kategori Melayu berkenaan.

Bagi Kategori Lagu Cina, naib juara bagi Kategori Lagu Melayu iaitu Adelynna Yang Tze Wee pula telah dinobatkan juara bagi kategori berkenaan menerusi persembahan lagu berjudul Wo Shi Cao Yan Siao Qi Shao.

Sia Lei Ching muncul naib juara bagi kategori tersebut sambil diikuti oleh Tay Cho Hung, Kelvin Tay Jie dan Phang Yi Jie yang masing-masing muncul sebagai pemenang tempat ke-3, ke-4 dan ke-5 bagi kategori tersebut.

Manakala bagi Kategori Lagu Iban, Lina anak Bunsing dinobatkan sebagai juara menerusi persembahan lagu berjudul Bujang Simanggang. Nurkhafieza Syuhada Mazlan pula muncul naib juara bagi kategori berkenaan.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Leftenan Norazli Aziz dari 13 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Pakit Sri Aman sambil disaksikan oleh Pengelola Rancangan Bahagian Iban RaSA FM Sri Aman, Ruth Apong.

Pertandingan Bintang Kecil 2009 ini adalah merupakan anjuran Jawatankuasa Induk Hiburan Q RTM Sri Aman bersempena dengan sambutan Hari Terbuka RTM Sri Aman bermula 11 hingga 13 Disember kelak.

Sejumlah 21 orang kanak-kanak daerah sekitar daerah Sri Aman mengambil bahagian dalam pertandingan yang juga diadakan bersempena dengan sambutan Hari Q (Kualiti) RTM Sri Aman bermula pada tarikh berkenaan.

Tamat.



No comments:

Post a Comment