Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 December, 2009

Belia dan beliawanis perlu contohi sahabat Nabi SAW - Simoi


Caption: TAHNIAH...Simoi sedang menyampaikan hadiah kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Shamshuddin (kiri) dan Aminah (kanan) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Ahad (20 Dis) – Tindakan para sahabat Nabi Muhammad S.A.W dalam memperjuangkan agama Islam pada zaman dahulu harus dijadikan teladan oleh golongan belia dan beliawanis dalam negeri ini kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Ini kerana perjuangan dan pengorbanan para sahabat Baginda termasuk juga para nabi Allah S.W.T pada masa dahulu telah membolehkan Islam berkembang luas ke serata dunia pada masa sekarang.

“Saidina Ali iaitu pemuda yang merupakan sahabat kepada Nabi Muhammad S.A.W misalannya telah sanggup mengorbankan diri dengan mengantikan Baginda di kamar tidurnya demi membolehkan Rasulullah melakukan Hijrah ke Madinah dan seterusnya selamat dari ancaman bunuh oleh penduduk Quraisy di Mekah.

“Ia merupakan contoh pengorbanan mulia oleh Saidina Ali yang menyumbang kepada kemajuan perkembangan dunia Islam menerusi peristiwa penghijrahan Baginda ke Madina dari Mekah dahulu dan harus dijadikan ikutan oleh golongan belia kita pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah bersempena dengan Program Kembara Hijrah 1431H / 2009M bertempat di Masjid Bandar Sri Aman hari ini.

Dengan mengambil contoh teladan perjuangan para sahabat nabi kata Simoi para belia dan beliawanis akan mempunyai tekad baru dalam mempertingkatkan pembangunan ummah selepas ini.

“Pengorbanan dari segi akal dan tenaga perlu disemai dalam diri belia serta beliawanis kita ke arah mewujudkan hubungan persaudaraan yang lebih kukuh dan seterusnya menyumbang kepada kestabilan politik lebih kukuh dalam negeri ini.

“Inilah hikmah perjuangan para sahabat Baginda lebih-lebih lagi menerusi peristiwa sejarah Hijrah yang membawa erti cukup besar dalam pembangunan diri setiap umat Islam di masa akan datang,” katanya.

Justeru Simoi berharap agar para belia dan beliawanis khususnya di Sri Aman mampu mengubah tahap kemajuan minda ke peringkat lebih tinggi selepas ini menerusi kisah teladan para sahabat Nabi S.A.W.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Ketua Biro Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Aminah Haji Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman, Haji Mustapa Salleh dan Pengerusi Rakan Masjid Bandar Sri Aman, Borhanudin Suai.

Seramai 125 orang peserta Program Kembara Hijrah dari Kuching, Samarahan dan Sebuyau berkampung selama dua hari tiga malam di Masjid Bandar Sri Aman bermula 18 lalu sebelum kesemua mereka berangkat ke Sarikei dan Bintulu pada hari ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment