Caption: SELAMAT DATANG...Ketibaan Entulu sambil diiringi oleh Rabaee (dua kanan) telah disambut oleh para peserta ketika berlangsungnya majlis penutupan program terbabit malam kelmarin.
BETONG, Isnin (7 Dis) – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah berjaya mengatasi sejumlah 85 peratus isu buta huruf semenjak Gerakan Pembasmian Buta Huruf dilancarkan pada tahun 1963 dahulu.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia, Datuk Joseph Entulu Blaun berkata peratusan ini sekaligus menunjukkan kejayaan pihak KEMAS dalam mengurangkan kadar Buta Huruf dikalangan orang dewasa luar bandar menerusi penubuhan gerakan terbabit.
“Untuk memperhebatkan lagi usaha ini, gerakan terbabit terus dipertingkatkan dengan pengenalan Konsep Literasi Fungsian 'Functional Literacy' oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada tahun 1977.
“Ia merupakan satu strategi untuk membangunkan rakyat luar bandar yang mana sebelum ini ia dikenali sebagai 'Bahagian Pelajaran Dewasa' melalui kelas pembelajaran Rumi dan Jawi yang diadakan di balairaya, surau dan sebagainya,” menurut beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlsi Penutupan Program Hari Literasi Luar Bandar Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Peringkat Negeri Sarawak 2009 bertempat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong malam kelmarin.
Menerusi pendekatan baru ini penduduk menurut Entulu bukan sahaja diberi pengetahuan asas mengenai 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) bahkan turut memberi bimbingan mengenai kemahiran hidup yang dapat memperbaiki taraf hidup mereka.
"Justeru apabila objektif kita mampu dicapai menerusi program (Program Literasi Luar Bandar) ini maka kerajaan akan menemui jalan lebih mudah meneruskan usaha pembangunan negara," katanya.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Abang Rabaee Abang Muhi, Pengetua MRSM, Mahmod Matzen, parta ketua jabatan, ketua kaum serta para kakitangan KEMAS dari seluruh negeri ini.
Terdahulu seramai 300 orang warga KEMAS termasuklah peserta Kelas Literasi Fungsian terlibat dengan program yang bermula dari 3 hingga 6 Disember lalu bertempat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong. Tamat....
No comments:
Post a Comment