Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 June, 2011

Sempena Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz : Felcra FC perlu menang dua baki perlawanan



Caption: MASIH BERHARAPAN...Wira Wahab berharap agar pasukannya iaitu Felcra FC dapat memenangi baki dua perlawanan dalam saingan Kumpulan A selepas ini.

Originaly written by Adiey Safarman

Harapan untuk melangkah ke pusingan kedua dalam Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011 nyata cukup cerah buat pasukan MPOB Elite setelah menumpaskan pasukan Felcra FC dalam saingan perlawanan Kumpulan A baru-baru ini.

Pasukan MPOB Elite telah membuktikan keunggulannya dengan membelasah pasukan Felcra FC dengan jaringan gol 6 – 1 setelah membelasah pasukan Merah FC dengan jaringan 3-1 pada perlawanan peringkat Kumpulan A sebelumnya.

Terdahulu, pasukan Felcra FC yang berada di bawah pimpinan jurulatih mereka iaitu Wira Wahab telah pun mengalami kekalahan dalam aksi pertama bagi peringkat Kumpulan A setelah tewas tipis ditangan pasukan Sessang FC dengan jaringan gol 2-1.

Wira yang agak gusar dengan dua keputusan perlawanan terbabit melahirkan rasa kecewa terhadap aksi hambar yang dipamerkan oleh para anak buahnya dalam kedua-dua perlawanan berkenaan.

Ini kerana dalam aksi dua perlawanan sebelum ini bagi beliau, pasukan Felcra FC telah memperlihatkan begitu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama sekali dari segi posisi dan corak permainan.

“Kelemahan dalam aksi menentang pasukan Sessang FC pada hari Sabtu lepas telah pun diperbaiki namun kelemahan dan kesilapan yang sama kembali berulang apabila menentang MPOB Elite,” katanya.

Beliau yang gusar pasukannya masih gagal memunggut sebarang mata dalam perlawanan peringkat A setakat ini berkata pasukan Felcra FC nyata gagal mempamerkan aksi sebenar tanpa nasib menyebelahi mereka.

Justeru Wira berharap agar pasukan Felcra FC mampu memenangi dua buah baki perlawanan bagi peringkat Kumpulan A demi mencerahkan peluang untuk saingan peringkat pusingan kedua pertandingan terbabit selepas ini.

Sementara itu dalam aksi perlawanan yang lain pula menyaksikan pasukan BPL City menumpaskan pasukan Emplam FC menerusi jaringan gol 3 – 2 dalam saingan peringkat Kumpulan B.

Perlawanan seterusnya dalam saingan Kumpulan C bakal menyaksikan perlawanan antara pasukan FLOAMING FC (ROBAN) menentang AWIK FC, pasukan Warrior 33 menentang TTM FC bagi peringkat Kumpulan D manakala pasukan Merah Junior FC menentang AWA Cartuzz FC bagi saingan kumpulan A.

Tamat.

No comments:

Post a Comment