Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

11 April, 2011

Suhaili jaguh badminton paralimpik Malaysia dari Simunjan



Caption: KENANGAN...Suhaili menunjukkan pingat yang diperoleh oleh beliau ketika berentap dalam kejohanan badminton OKU di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selama ini.

Abang Naim Abang Pauzi

Nama jaguhan Datuk Misbun Sidek, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Rashid Sidek, Jalani Sidek dan Razif Sidek sememangnya tidak asing lagi dikalangan peminat sukan badminton dalam negara ini khasnya di Sarawak.

Ini kerana kisah kehandalan mereka menentang jaguh badminton luar negara seperti Yang Yang, Joko Suprianto, Peter Sorensen, Lin Dan dan ramai lagi pada kejohanan peringkat dunia telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa hingga ke masa sekarang.

Bagaimanapun tidak ramai peminat sukan badminton yang mengenali jaguhan Orang Kurang Upaya (OKU) yang sering mewakili negara untuk berentap dalam temasya badminton Paralimpik selama ini.

Salah seorang daripada jaguh badminton OKU ialah Suhaili bin Laiman, 49 dari Kampung Sageng, Simunjan yang cacat di bahagian kaki akibat terjatuh sejak berumur sembilan tahun lalu.

Beliau yang sering mewakili negeri Sarawak dan Malaysia dalam acara badminton peringkat antarabangsa telah membawanya menjelajah banyak negara India, Vietnam dan China selama ini.

“Saya mula mewakili negara pada kejohanan badminton peringkat paralimpik sejak tahun 2000 dan telah membawa pulang banyak pingat kemenangan semenjak itu,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.

Kali terakhir beliau memperolehi pingat emas ialah dalam acara badminton beregu berpasangan dengan Lee Chiaw Hwa dari Kuala Lumpur di Asian Para Games, Guangzhou, China pada tahun lepas dengan mengalahkan beregu dari Indonesia.

Sementara itu seorang peminat iaitu Yaman Adam berasa terkilan terhadap penghargaan yang telah ditunjukkan oleh pelbagai pihak terhadap sumbangannya dalam mengharumkan nama negara selama ini.

“Beliau juga seorang jaguh badminton negara. Bagaimanapun kepulangan beliau ke kampung tidak disambut meriah setelah menyertai kejohanan badminton di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Beliau yang bertugas di Jabatan Pertanian sepatutnya mendapat penghargaan sewajarnya di atas sumbangan tersebut daripada jabatan-jabatan kerajaan dan agensi yang lain selepas ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment