Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 April, 2011

Razi adakan majlis kesyukuran sempena kemenangan BN di Saribas


Caption: MESRA...Razi (tengah) ketika bermesra bersama para jemputan di kediamannya kelmarin.

Saleman Senin,
Tauke Balak Betong

DEBAK, Isnin (25 April) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky @ Mohamad Razi bin Sitam telah mengadakan majlis kesyukuran bersempena dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN terbabit di kediamannya kelmarin.

Majlis kesyukuran yang dihadiri seramai 2,500 orang penyokong dan petugas dari komponen parti BN itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah anak Embas.

Turut hadir sama bagi memeriahkan majlis itu ialah Ketua Polis Daerah Betong, DSP Bukhori Saffai, Pengarah Belia dan Sukan Sarawak, Salihin Haji Kachon dan pegawai kerajaan yang lain.

Razi ketika ditemui memberitahu majlis ini bertujuan untuk memberi ruang kepada beliau bagi menyatakan penghargaan dan rasa terima kasihnya terhadap semua pihak yang telah berusaha memastikan kejayaan BN di DUN Saribas pada pilihan raya lepas.

“Majlis ini juga bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara rakyat dengan para pemimpin di kawasan DUN Saribas disamping mendengar masalah serta keperluan mereka,” katanya.

Selain itu beliau juga akan memulakan usahanya untuk bertemu dengan semua rakyat dalam kawasan DUN Saribas setelah buat pertama kalinya menjadi wakil rakyat mereka pada 16 April lepas.

Walaupun masih baru dalam dunia politik, Razi berharap agar rakyat dalam kawasan DUN Saribas memberi sepenuh kerjasama terhadap dirinya bagi merancang masa depan pembangunan kawasan itu selepas ini.

“Paling penting di sini ialah rakyat dalam kawasan DUN Saribas untuk terus menyokong kerajaan BN demi masa depan pembangunan mereka di masa akan datang,” menurut beliau.

Terdahulu Razi, dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) muncul ADUN Saribas pada pilihan raya umum lalu setelah memperolehi majoriti 1,728 undi sekaligus menewaskan lawan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abang Zulkifli Abang Engkeh.

Tamat.

No comments:

Post a Comment