Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 February, 2011

Politik Sarawak umpama 'ramai lelaki rebut seorang wanita cantik' - Taib




SRI AMAN, Sabtu (26 Feb) – Kuasa politik Sarawak diibaratkan sebagai seorang ‘wanita cantik’ yang direbut oleh ramai ‘lelaki’ dengan pelbagai jenis cara demikian menurut Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Sejiwa Senada peringkat Bahagian Sri Aman 2011 bertempat di Padang Lama, KPSU Sri Aman hari ini.

Barisan lelaki ini kata beliau adalah komponen parti politik Barisan Nasional (BN) dan pembangkang yang cuba merebut kuasa terbabit daripada rakyat dengan menggunakan pelbagai pendekatan berbeza bagi tujuan berkenaan.

“Anggaplah komponen parti BN sebagai lelaki A manakala komponen parti pembangkang sebagai lelaki B. Lelaki A seorang yang jujur dan tidak berani meluahkan janji kosong kepada wanita itu kerana bimbang gagal untuk menunaikannya.

“Manakala itu lelaki B pula tidak jujur dan sanggup meluahkan pelbagai janji kosong kepada wanita berkenaan. Wanita terbabit akan menyesal memilih lelaki B apabila janji yang dia luahkan gagal ditunaikan selepas itu,” katanya.

Dengan kata lain rakyat kata Taib harus tahu bahawa ‘lelaki A’ adalah merupakan komponen parti BN yang jujur serta ikhlas dan tidak mahu menghampakan hidup rakyat dengan pelbagai janji kosong seperti pihak pembangkang.

Sementara itu rakyat kata beliau juga harus diatur untuk menolak segala elemen politik negatif seperti menghasut, mencerca, menyebar dakyah palsu dan banyak lagi hingga boleh mengelirukan fikiran mereka selepas itu.

Elemen politik negatif katanya hanya akan merugikan hidup rakyat kerana ia tidak memberi sebarang makna kepada pembangunan hidup mereka melainkan menyokong segala rancangan pembangunan oleh kerajaan BN.

“Rakyat harus meninggalkan politik kuno mulai sekarang. Justeru rakyat harus bekerjasama dengan kerajaan yang mereka pilih demi hala tuju pembangunan negeri pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohammad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, para barisan menteri kabinet persekutuan, menteri muda kabinet Kerajaan Negeri, para wakil rakyat BN dan pegawai jabatan kerajaan.

Taib bersama isteri dan rombongan telah disajikan dengan persembahan koir Sejiwa Senada, Jalur Gemilang dan Sri Aman Mansang Maju sebelum berkesempatan untuk meninjau tapak pameran program berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment