Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 February, 2011

Penduduk Kampung Pantong dapat kemudahan sukan terbaru



Caption: KEMUDAHAN BARU...Belia Kampung Pantong, Simunjan ketika sedang bermain sepak takraw di atas padang rekreasi baru berkenaan.


SIMUNJAN, Ahad (27 Feb) – Penduduk Kampung Pantong Melayu, Simunjan melahirkan rasa lega memandangkan padang rekreasi baru bernilai RM10,000 sudah pun siap dibina dua bulan lepas.

Padang rekreasi berupa gelanggang sepak takraw hasil disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Haji Julaihi Haji Narawai, telah dibina secara gotong-royong di hadapan rumah Majais bin Ayub.

Ketua aktiviti gotong-royong berkenan iaitu Tenku Hadzir bin Wan Noh, 34, ketika ditemui memberitahu pihaknya telah berjaya menyiapkan projek tersebut dalam tempoh seminggu hasil kerjasama semua belia di kampung berkenaan.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama bagi menjayakan kerja pembinaan padang berkenaan,” katanya sambil berharap agar semangat kerjasama dikalangan para belia terbabit dapat dikekalkan selepas ini.

Manakala itu Malai bin Sani, 33, memberitahu penyediaan padang rekreasi baru di Kampung Pantong secara tidak langsung memudahkan golongan belia untuk beriadah di situ selepas ini.

Sebelum ini golongan belia Kampung Pantong Simunjan jelas beliau terpaksa beriadah di kawasan jalan raya sehingga boleh menimbulkan bahaya terhadap keselamatan diri mereka sendiri.

“Kami kini tidak perlu lagi bersusah payah mencari tempah beriadah pada setiap petang. Padang rekreasi baru ini membantu semua belia untuk bersukan pada setiap petang di Kampung Pantong Simunjan,” katanya.

Terdahulu Ketua Kaum iaitu Hamdan bin Sebeli ketika dihubungi melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih terhadap keprihatinan ADUN Sebuyau (Julaihi) berhubung masalah rekreasi penduduk Kampung Pantong sebelum ini.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Majais Ayub kerana membenarkan padang terbabit dibina hadapan rumahnya. Sumbangannya membolehkan para belia beriadah secara sihat dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sumbangan wakil rakyat dan tuan tanah terhadap pembinaan padang rekreasi terbabit secara tidak langsung akan dapat mengelak golongan belia daripada berpeleseran dan melakukan kerja tidak berfaedah selepas ini.

Tamat.

1 comment:

  1. padang nggak besar yo padah eh rm10000 ribu

    ReplyDelete