Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 February, 2011

Jangan terpesong dari perjuangan asal - CM

ANTHONY PUNAN

BETONG, Khamis (10 Feb) – Rakyat diingat agar jangan terpesong daripada perjuangan asal untuk berjuang demi memastikan kemajuan dan kemakmuran berkekalan bagi negeri ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, ketika melontarkan ingatan berkenaan turut mengingatkan rakyat agar jangan sekali-kali terpengaruh dengan janji-janji ‘kosong’ pembangkang yang hanya akan merugikan rakyat pada masa akan datang.

Katanya, aspirasi utama rakyat yang telah diperjuangkan oleh para pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) itu telah bermula sejak dari zaman pencapaian merdeka lagi dengan tidak memberi keutamaan kepada perkara remeh temeh yang tidak memberi faedah kepada rakyat dan negeri ini pada keseluruhannya.

“Kalau mahu maju dan membangun kita jangan membiarkan fikiran kita terpesong dari fikiran mahu maju . Kalau kita gagal mengelak daripada pemikiran yang terpesong yang akan rugi adalah rakyat dan negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Negeri Sarawak 2011 bertemakan “Kepimpinan Akar Umbi Teras Pembangunan” bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata, pada masa ini muncul beberapa parti baru dengan ideologi serta propaganda tersendiri . Justeru itu, rakyat harus menyedari bahawa tujuan berpolitik adalah untuk melihat negeri ini maju dan lebih aman serta damai.

“Saya telah memikirkan sejak dari dulu lagi, bahawa kita perlu menerapkan cara pemikiran iaitu politik dan pembangunan tidak boleh dipisahkan.

“Politik patut menjadi pendorong kepada pembangunan dan bukannya untuk merosakkan pembangunan kerana yang rugi adalah kita sendiri (rakyat),” tegasnya.

Pehin Sri Taib yang juga Pengerusi BN negeri, sehubungan itu memberitahu agar rakyat terus menyokong kerajaan sebagai jaminan kepada nasib yang lebih cerah pada masa akan datang.

Manakala, nasib itu sebenarnya ditentukan oleh rakyat itu sendiri yang sentiasa mahukan kemajuan dan lahir dengan daya pemikiran yang baru.

“Pembangkang bercakap mahu membantu rakyat tetapi satu apapun tidak dapat mereka laksanakan, cakap sesuatu yang diluar kemampuan mereka dan semuanya janji kosong.

“Semua itu jangan kita dengar, dan jangan kita terpedaya dengan janji-janji kosong yang hanya akan merugikan kita sebagai rakyat,” ujarnya.

Ketua Menteri berkata juga turut mengingatkan agar rakyat di negeri ini supaya sentiasa mengekalkan serta memperjuangkan keamanan serta kestadbilan politik yang telah rakyat nikmati ketika ini.

Tegasnya, ia penting bagi memastikan kesinambungan kepada dasar politik pembangunan seperti menerusi Koridor Tenaga Boleh Diperbaruhi Sarawak (SCORE) agar dapat terus memacu ekonomi negeri ini sekali gus mencapai sasaran rakyat berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Manakala sebagai pemimpin dalam masyarakat termasuk sebagai wakil rakyat, Ketua Menteri juga mengingatkan agar mereka sentiasa meningkatkan keupayaan dan adalah wajar untuk menggantikan mereka yang telah lama memimpin dengan tenaga muda yang berkemahiran dan berkemampuan.

“Pilihan raya akan datang, kalau perlu kita akan tukar calon-calon yang lama terutamanya yang sudah mahu mengundur diri. Kita gantikan dengan yang baru serta pandai dan mempunyai kualiti kepimpinan,” katanya.

Seminar kepimpinan selama dua hari itu dihadiri oleh lebih daripada 480 orang ketua masyarakat termasuk 239 dari Bahagian Betong dan 241 dari Seratok termasuk wakil serta masyarakat dari kawasan sekitar Betong.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri Puan Sri Nur Ragad Waleed Alkudri, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Anak Numpang serta isteri Dato Sri Empiang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dato Sri Douglas Uggah Embas serta isteri Datin Sri Doreen Muyang, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Ghani, Penasihat Khas Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Haji Satem, Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel, menteri serta menteri-menteri muda kerajaan negeri dan wakil daripada jabatan-jabatan kerajaan serta penduduk setempat.

No comments:

Post a Comment