Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 February, 2011

Geng pembangkang suka bertindak kurang asam kata Jabu


Caption: RASMI...Jabu sedang mengiringi Taib untuk upacara simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh Ragad dan Morshidi.


BETONG, Khamis (10 Feb) – Pihak pembangkang harus dilabel sebagai kumpulan yang gemar mengamalkan sikap kurang ajar dalam negeri ini kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Ketua Masyarakat Bahagian Betong bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.

Kumpulan berkenaan menurut beliau harus dianggap gemar bersikap kurang ajar berdasarkan kepada beberapa tindakan mereka dalam menghalang kemajuan, tidak menghormati adat kaum dan mengugat ketenteraman hidup rakyat Sarawak selama ini.

Antara buktinya kata Jabu ialah pihak pembangkang pernah cuba mengagalkan usaha kerajaan untuk menaiktaraf hidup rakyat menerusi projek penanaman kelapa sawit di Machan, Kanowit pada 1995 dahulu.

“Kumpulan ini juga tidak menghormati adat istiadat rakyat Iban di Lubok Antu serta tidak cuba berusaha mahu menghalang hasrat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya iaitu Chin Peng untuk pulang ke Malaysia.

“Justeru berdasarkan kepada bukti ini pihak pembangkang harus dilabelkan sebagai kumpulan kurang ajar oleh rakyat. Pertahankan kota Barisan Nasional (BN) daripada golongan seperti ini pada pilihan raya kelak,” katanya.

Selain itu Jabu juga menasihatkan rakyat untuk terus menyokong teguh kerajaan yang dipimpin oleh BN bagi menjayakan segala rancangan pembangunan dalam negeri ini pada masa akan datang.

Terdahulu Majlis Perasmian Seminar Ketua Masyarakat Bahagian Betong yang melibatkan penyertaan seramai 480 orang peserta adalah merupakan anjuran Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Nur Ragad Waleed Al Kuardi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohammad Morshidi Abdul Ghani, Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menterui, Datuk Amar Adenan Haji Satem, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, para menteri muda, wakil rakyat, pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment