Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 June, 2010

Pembangunan luar bandar diperhebat - Nyalau


Caption; SELAMAT DATANG.....Nyalau (tiga kanan), Mussen (dua kiri) dan Geoffery (kanan sekali) ketika tiba di rumah panjang bersempena dengan majlis tersebut.

LUBOK ANTU, Isnin (21 Jun) – Kerajaan Negeri yang didukung oleh komponen parti Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memperhebatkan usaha membangunkan kawasan luar bandar dalam negeri ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata pelbagai program telah dirancang dari masa ke semasa dengan memastikan setiap kawasan luar bandar menyertai program pembangunan itu.

“Pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dan berusaha dengan penuh gigih demi membolehkan rakyat dari kawasan luar bandar menikmati faedah pembangunan yang kita rancang untuk mereka.

“Lagipun Rancangan Malaysia Ke-10 menitikberatkan pembangunan kawasan luar bandar. Justeru wakil rakyat BN akan terus berusaha untuk memastikan RMK10 dapat menaiktaraf hidup rakyat dari kawasan luar bandar selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Khas 1Malaysia Bersama Pemimpin di Rumah Kanselor Albert Klingsing, Skarok, Lubok Antu anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Sarawak Bahagian N29 Batang Ai baru-baru ini.

Selain itu kemudahan perhubungan seperti jalan raya kata Nyalau menjadi nadi utama kepada pembangunan rakyat yang hidup di kawasan luar bandar atau terpencil dalam negeri ini.

Jelas beliau pembinaan kemudahan jalan raya ke kawasan luar bandar akan membolehkan rakyat mempergiatkan usaha ekonomi masing-masing dengan memasarkan hasil tani ke pekan yang berdekatan selepas ini.

“Disebabkan oleh faktor inilah saya sering menekankan betapa pentingnya pembinaan kemudahan jalan raya di kawasan rakyat yang masih mundur ketika berucap di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Ini kerana kemudahan jalan raya boleh menjurus kepada penyediaan lain-lain kemudahan untuk rakyat kawasan luar bandar selepas itu. Oleh yang demikian pembinaan jalan raya dapat menaiktaraf hidup rakyat dari kawasan luar bandar di masa akan datang,” katanya.

Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada JKKK Klingsing, Skarok dan RM2,000 untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba dan para ketua kaum di sini.

Tamat.....

No comments:

Post a Comment