Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 June, 2010

Pasang capan depan pintu elak malapetaka?


Caption: BENAR ATAU TIDAK?...Capan digantung di setiap pintu masuk di beberapa rumah panjang untuk mengelak malapetaka berhubung kisah nenek tua berkenaan baru-baru ini.


LUBOK ANTU, Khamis (17 Jun) – Kepercayaan penduduk Lubok Antu mengenai penggunaan azimat gelang Lemba Kumang untuk mengelak dijangkiti penyakit H1N1 pernah menjadi isu utama dalam akhbar tempatan berbahasa Melayu pada tahun lepas.

Penggunaan Gelang Lemba Kumang yang kononnya diperoleh menerusi mimpi seorang penduduk di Lubok Antu itu secara tidak langsung telah tersebar secara meluas dikalangan orang Iban di Sri Aman, Simunjan malah hingga ke Johor.

Bagaimanapun kali ini muncul pula kepercayaan baru dikalangan orang Iban di beberapa buah rumah panjang dalam kawasan Lubok Antu apabila mereka bertindak mengantungkan capan (alatan menampi) yang diikat dengan benang mereka di hadapan pintu rumah masing-masing bagi mengelak ditimpa malapetaka selepas ini.

Menurut sumber, kepercayaan baru ini timbul apabila seorang nenek tua dari sebuah rumah panjang dalam kawasan Ulu Sungai, Batang Ai, Lubok Antu diekori oleh seorang lelaki ketika pulang bersendirian dari sawah padi pada waktu petang.

“Sebaik sahaja tiba di rumah panjang, nenek tua terbabit kemudiannya bertindak mempelawa lelaki terbabit ke rumah beliau apabila menyedari dirinya diekori oleh orang asing terbabit dari sawah padi sebelum itu.

“Lelaki terbabit enggan menerima pelawaan nenek tua tersebut. Alasannya ialah dia takut terhadap capan yang terletak di dalam raga yang dibawa oleh nenek tua berkenaan ketika pulang dari sawah padi,” katanya.

Lelaki misteri berkenaan kata sumber juga memberitahu nenek tua terbabit bahawa sekiranya capan digantung dihadapan pintu rumah maka golongan lelaki tersebut tidak akan berani memasuki rumah penduduk selepas itu.

Kononnya lelaki misteri turut memberitahu nenek tua berkenaan bahawa kematian mengejut penduduk rumah panjang sebelum ini adalah disebabkan oleh gangguan kaum mereka.

“Lelaki terbabit kononnya menghilang diri selepas itu. Akibatnya cerita mengenai pertemuan nenek tua dan lelaki tersebut telah menyebabkan penduduk bertindak mengantung capan yang diikat dengan tali merah di pintu rumah panjang masing-masing.

“Kisah penggunaan gelang Lemba Kumang dan Capan mempunyai beza. Kepercayaan penggunaan Lemba Kumang diperoleh menerusi mimpi manakala penggunaan Capan pula diperoleh dari dunia nyata,” katanya.

Justeru katanya terpulang kepada budi bicara penduduk untuk mempercayai kisah penggunaan Capan yang diikat dengan tali merah demi mengelak ditimpa malapetaka selepas ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment