Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 June, 2010

Jangan bergantung kepada kerajaan untuk didik anak OKU - Simoi


Caption: TAHNIAH...Simoi (kanan) sedang menyampaikan hadiah kepada penerima (kiri) sambil disaksikan oleh Shamshuddin (tengah) dan tetamu undangan khas yang lain pada majlis itu.

SRI AMAN, Sabtu (26 Jun) – Ibubapa kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dinasihat agar tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Pemulihan Dalam Kominiti di kawasan masing-masing untuk membantu anak-anak mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri berkata ibubapa kepada golongan OKU itu sendiri sebaliknya harus mempunyai kemahiran untuk mendidik anak masing-masing agar mereka menjadi insan berjaya pada masa akan datang.

“Penglibatan ibubapa juga boleh membantu anak-anak OKU mereka untuk menjadi insan yang berjaya dalam hidup disamping memotivasikan golongan ini untuk memperoleh kerjaya yang sesuai apabila sudah membesar kelak.

“Lagipun ada golongan OKU dalam negara ini yang telah berjaya mengecapi kejayaan menerusi kerjaya perniagaan masing-masing. Atas sebab ini saya yakin ibubapa boleh memotivasikan anak-anak OKU mereka untuk tujuan itu dengan adanya bantuan kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal anjuran Pusat Pemulihan Dalam Kominiti (PDK) Sri Aman bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi

Selain itu Simoi juga menasihatkan para ibubapa kepada anak OKU ini agar tidak segan silu untuk menghantar anak-anak istimewa terbabit ke pusat pemulihan yang berdekatan di masa akan datang.

“Malahn saya juga menyeru Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam bandar ini untuk turun padang bagi membantu melahirkan modal insan berkualiti daripada golongan OKU ini demi kesinambungan masa depan pembangunan negara selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak, Datuk Amar Hajah Saptuyah Haji Suib, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, timbalannya, Felicia Tan dan Pengerusi MAKSAK Sri Aman, Golnar Daud.

Terdahulu pihak MAKSAK Wanita Negeri Sarawak telah menghulurkan sumbangan berupa cek bernilai RM1,000 kepada PDK Sri Aman menerusi majlis berkenaan. Simoi menerusi majlis itu turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Pelatih PDK Sri Aman.

Majlis Makan Malam Amal ini turut diserikan dengan persembahan Joget Melayu, penyampaian sumbangan untuk anak-anak istimewa, persembahan pakaian beragam, lagu tajaan, cabutan tiket bertuah dan persembahan tarian No Body oleh BAKAT 13 RAMD Kem Pakit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment