Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 December, 2009

Laksana kelas kemahiran bermaklumat, kekang salahguna ICT - Harden


Caption:RASMI...Harden sedang memotong reben sebagai simbolik perasmian Perpustakaan Desa RPR Taman Harmoni sambil disaksikan oleh Japri (kanan), Jack (kiri), Penghulu Samad (dua kanan) dan Zaidi (kanan sekali) di sini hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (5 Dis) – Perpustakaan awam disaran agar memainkan peranan lebih aktif dalam menganjurkan kelas-kelas kemahiran bermaklumat kepada masyarakat umum selepas ini demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Ini kerana perkembangan dunia blog dalam internet pada masa sekarang dan penyebaran khabar angin melalui mail elektronik (e-mail) serta sistem pesanan ringkas (sms) katanya mampu menggugat kesejahteraan masyarakat sekiranya mereka gagal mengenalpasti maklumat yang betul atau palsu.

“Penganjuran kelas kemahiran bermaklumat oleh pihak perpustakaan awam amat penting bagi membolehkan masyarakat mencari, menilai serta menggunakan maklumat yang mereka terima menerusi teknologi sekarang dengan betul.

“Ini membantu mereka untuk membuat keputusan yang tepat. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan masyarakat diperdaya dengan maklumat yang palsu serta lapuk dan seterusnya tidak dapat membuat pilihan dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Perpustakaan Desa RPR Taman Harmoni, Sri Aman di sini hari ini.

Selain itu Harden juga menasihatkan masyarakat di sini agar tidak menyalahgunakan kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) yang sedia ada sekarang untuk tujuan yang tidak baik.

“Sesuatu yang membawa kebaikan biasanya boleh membawa keburukan jika disalahguna walaupun kebebasan mendapatkan maklumat ini ada banyak kebaikan menerusi kemudahan ICT.

“Ia terbukti menerusi penyebaran maklumat palsu dan fitnah di internet serta penipuan menerusi khidmat sms. Justeru masyarakat dinasihat agar berhati-hati mengenai perkara ini demi kebaikan diri mereka pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Jack Aman Luat, Pegawai Tadbir Sosial, Zaidi Sarkawi, Penghulu Haji Abdul Samad Abdul Rahim dan penduduk Taman Harmoni.


Perpustakaan Desa RPR Taman Harmoni, Sri Aman beroperasi sepenuhnya pada bulan Jun 2007 setelah dibina dengan kos bernilai RM250,000 hasil biayaian sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.


Tamat.




No comments:

Post a Comment