Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 December, 2009

Kampung Baru Hulu Betong anjur kempen anti denggi


Caption: UNTUK ALBUM...Para penduduk bersama tetamu undangan khas sedang bergambar kenangan sebaik sahaja selesai kempen tersebut baru-baru ini.

BETONG, Selasa (22 Dis) – Seramai 200 orang penduduk Kampung Baru Hulu Betong mengambil bahagian dalam kempen gotong-royong membersihkan kawasan kampung mereka baru-baru ini.

Kempen anjuran JKKK dan AJK Surau Darul Taqwa Kampung Baru Hulu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Betong serta Majlis Daerah Betong ini bertujuan untuk bagi membasmi wabak Chikungunya dan Denggi yang kian menular pada waktu sekarang.

Pengerusi kempen terbabit, Noraini Haji Mohd Wasli ketika ditemui menjelaskan bahawa aktiviti ini amat penting bagi memupuk kesedaran orang ramai tentang bahaya penularan kedua-dua penyakit yang berpunca dari nyamuk Aedes selama ini.

“Peningkatan wabak penyakit itu kian ketara di kawasan dalam dan luar bandar yang terdedah kepada aktiviti penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan pada masa sekarang.

“Justeru atas sebab ini pihak kita menerusi kempen terbabit telah menyarankan penduduk untuk meluangkan masa selama lima minit pada setiap hari bagi membersihkan kawasan penempatan masing-masing,” menurut beliau.

Selain itu kempen gotong-royong ini juga menurut beliau bertujuan untuk menerangkan kepada penduduk mengenai penyakit dan ancaman kesihatan yang boleh disebabkan oleh nyamuk Aedes menerusi wabak Chikungunya dan Denggi.

“Diharapkan agar kempen terbabit dapat mempertingkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit terbabit dikalangan penduduk khususnya dari Kampung Baru Hulu Betong selepas ini,” katanya.

Terdahulu Noraini sendiri selaku wakil Majlis Daerah Betong menyampaikan taklimat terhadap penduduk mengenai penyakit tersebut sebelum plastik pembuangan sampah dan ubat pembunuh jentik-jentik diagih kepada para penduduk di Surau Darul Taqwa Kampung Baru Hulu.

Pegawai Jabatan Kesihatan Bahagian Betong, Dr Shahril Yong Abdullah, Pengerusi JKKK Kampung Baru Hulu Betong, Wan Boehana Wan Omar dan Pengerusi AJK Surau Darul Taqwa Kampung Baru Hulu Betong, Hassan bin Kom hadir sama bagi menjayakan kempen tersebut.

Kempen ini juga turut dijayakan dengan aktiviti membersihkan kawasan kampung sebelum operasi fogging dilakukan dalam kawasan Kampung Baru Hulu Betong dari jam 5 petang hingga 8 malam.


Tamat.

No comments:

Post a Comment