Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 December, 2009

Isu Marina : Anak kacukan tak perlu bimbang - Harden


Caption: BERJIWA GURU...Harden sambil diapit oleh Japri (kiri) dan Jack (kanan sekali) sedang mengambil peluang untuk mendidik kanak-kanan Taman Harmoni ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (7 Dis) – Ibubapa kini tidak perlu bimbang mengenai masa depan pendidikan anak-anak mereka yang berdarah kacukan (Bapa Pribumi, Ibu Bukan Pribumi) selepas ini demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Ini kerana isu Marina Unau, pelajar aliran Sains yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2009 namun gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi kerana dikelaskan sebagai penduduk Bukan Bumiputera sebelum ini sudah pun mampu diselesaikan.

“Pelajar pintar itu kini sedang dalam proses untuk menyambung pelajaran ke sebuah universiti tempatan dalam negara ini buat masa sekarang. Dengan kata lain isu beliau (Marina) sudah boleh dianggap selesai,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang terbabit sambil melahirkan rasa lega berhubung penyelesaian isu itu.

Marina, 18, hasil perkongsian hidup Unau anak Liap (Iban) dan isterinya iaitu Wong Pick Sing (Cina) tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi kerana dianggap Bukan Bumiputera mengikut tarif yang diperuntukan menerusi Perkara Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) bagi negeri Sarawak.

Terdahulu Harden telah menyempurnakan Majlis Pembukaan Perpustakaan Desa Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Taman Harmoni dalam bandar Sri Aman baru-baru ini yang turut dihadiri oleh pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli dan Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Jack Aman Luat.

Perpustakaan Desa RPR Taman Harmoni yang dibina dengan kos bernilai RM250,000 hasil biayaian sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan telah mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Jun tahun 2007.

Bangunan berkeluasan 120 meter persegi yang siap dibina pada April 2007 itu dijangka mampu memberi keperluan pendidikan dan peningkatan ilmu terhadap 500 orang penghuni Taman Harmoni berkenaan.

Disamping itu Perpustakaan Desa RPR Taman Harmoni juga adalah merupakan projek desa yang diusahakan menerusi Peruntukan Khas Belanja Mengurus Tahun 2006 oleh Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak, Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak dan Majlis Daerah Sri Aman.

Tamat


No comments:

Post a Comment