Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 December, 2009

Ahmad Leng terima Anugerah Khas Kualiti RTM Sri Aman 2009!

SRI AMAN, Isnin (14 Dis) – Seramai enam orang kakitangan Jabatan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman menerima anugerah kualiti menerusi majlis yang berlangsung di stesen RTM Sri Aman malam tadi.

Kesemua enam orang penerima terbabit menerima anugerah bagi kategori Anugerah Khas Kualiti, Anugerah Pegawai Contoh Lelaki serta Wanita dan Anugerah Pegawai Kreatif dan Inovatif.

Ahmad Leng dari bahagian pentadbiran telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Kualiti yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah berupa wang bernilai RM300, sijil dan hadiah sampingan.

Bagi Anugerah Pegawai Contoh pula, Haji Hasani bin Temenggung Haji Bujang dari bahagian kejuruteraan pula telah diumumkan sebagai penerima kategori Lelaki manakala Ruth Apong pula dari bahagian penerbit rancangan diumumkan sebagai penerima kategori Wanita.

Anugerah Pegawai Contoh ini membolehkan Ruth dan Hasani masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang bernilai RM200, sijil dan hadiah sampingan menerusi majlis tersebut.

Tiga kakitangan RTM Sri Aman yang menerima Anugerah Pegawai Kreatif dan Inovatif ialah Jemain Yassin dari bahagian pentadbiran, Stonton anak James Jaga dari bahagian rancangan dan Sahimi Yatim dari bahagian kejuteraan.

Kesemua tiga orang penerima Anugerah Pegawai Kreatif dan Inovatif ini turut membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM200 untuk setiap seorang dan sijil anugerah inovatif menerusi majlis itu.

Hadiah kepada para penerima telah disampaikan oleh Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Mong anak Dagang yang sebelum itu merasmikan Majlis Anugerah Kualiti Jabatan Penyiaran RTM Sri Aman.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pengarah Penyiaran Sarawak, Abdul Jelani Mahmud dan Pengurus RTM Sri Aman, Abang Sulaiman Abang Joh.

Majlis pada malam itu diserikan lagi dengan persembahan nyanyian lagu karaoke, persembahan peragaan pakaian tradisional serta moden, penyampaian insentif cemerlang dan upacara simbolik memotong kek ulangtahun RTM ke-27.

Tamat.

No comments:

Post a Comment