Caption:
1.UNTUK ALBUM... Para peserta Kem Motivasi Pelajar Tahun 6 SK Engkilili No.2 sedang bergambar kenangan bersama penceramah ketika berlangsungnya program terbabit. Foto: UDING RAGAI
2. TERIMA KASIH...Jemat sedang menyampaikan cenderamata kepada seorang penceramah ketika berlangsung program berkenaan. Foto: UDING RAGAI
Originally written by Uding Ragai,
SK Engkilili No.2
ENGKILILI, Rabu (17 Ogos) - Sekolah Kebangsaan (SK) Engkilili No.2 mensasarkan keputusan “lulus penuh” dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah atau UPSR yang akan diadakan pada bulan September ini nanti.
Penolong Kanan 1 SK Engkilili No.2, Jemat Marayang berkata demikian selaku mewakili guru besar merasmikan Majlis Penutupan Kem Motivasi Pelajar Tahun 6 yang berlangsung di dewan sekolah terbabit baru-baru ini.
“Program terbabit diadakan sebagai langkah persediaan oleh pihak sekolah untuk membuat persediaan kepada para pelajar Tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR pada bulan September nanti,” katanya.
Pihak sekolah katanya telah menjemput beberapa orang penceramah / fasilitator yang terdiri daripada para guru cemerlang dari sekolah sekitar daerah Lubok Antu, Engkilili dan Sri Aman bagi menjayakan program itu.
Antara aktiviti yang telah diadakan menerusi Kem Motivasi Pelajar Tahun 6 ini menurut Jemat adalah ceramah kaunseling, slot Bahasa Melayu, slot Bahasa Inggeris, Slot Matematik dan slot Sains.
“Pada slot terakhir bagi tujuan penganjuran Kem Motivasi Pelajar Tahun 6 berkenaan, semua pelajar Tahun 6 SK Engkilili No.2 telah dikehendaki membuat persembahan mengikut kumpulan masing-masing.
“Acara turut diserikan lagi dengan majlis penyampaian hadiah kepada para peserta yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Pra UPSR yang merangkumi kategori Pencapaian Terbaik (Cemerlang) dan Peningkatan Ketara dalam setiap matapelajaran,” katanya.
Justeru beliau berharap agar penganjuran Kem Motivasi Pelajar Tahun 6 terbabit akan dapat mempertingkatkan pencapaian akademik para pelajar SK Engkilili No.2 pada peperiksaan UPSR ini nanti.
Tamat.
No comments:
Post a Comment