Caption:
1.MULA BERBUAH..Tanaman koko milik Ngumbang kini mula mengeluarkan hasil semenjak ia ditanam pada tahun 2009 lepas hasil pemberian percuma oleh LKM.
2. SUDAH MATANG...Pokok koko milik Ngumbang kini sudah dewasa setelah dijaga cukup rapi pada peringkat usia mudanya semenjak tiga tahun lepas.
SIMUNJAN, Khamis (18 Ogos) – Sememangnya tidak dinafikan bahawa getah dan lada adalah merupakan tanaman komersial yang paling gemar diusahakan oleh penduduk dari kawasan luar bandar pada masa sekarang.
Dengan hasil pendapatan yang cukup memuaskan, rata-rata penduduk luar bandar hanya perlu bergantung kepada kedua-dua jenis tanaman komersial ini bagi menyara kehidupan keluarga masing-masing.
Bagaimanapun populariti hasil penanaman lada dan getah ini secara tidak langsung menyebabkan koko menjadi tanaman komersial yang semakin kian dilupakan oleh penduduk luar bandar.
Atas sebab ini kerajaan menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah mempergiatkan usaha mereka untuk mengalakkan penduduk luar bandar menjadikan koko sebagai salah satu tanaman komersial mereka pada masa sekarang.
“Saya telah memulakan kerja penanaman koko di belakang rumah semenjak tahun 2009 setelah menghadiri kursus penanaman koko anjuran LKM di Kampung Gayau, Padok, Simunjan selama dua hari.
“Hasil kursus ini para peserta termasuk saya telah menerima sejumlah 1,000 anak pokok benih koko bagi memperhebatkan lagi usaha penanaman koko di kawasan luar bandar,” katanya seorang penanam koko dari Kesindu, Simunjan iaitu Ngumbang Aron, 55 tahun.
Para peserta termasuk beliau juga turut menerima peralatan menuai koko disamping pemberian lima guni baja koko dan lapan liter racun rumpai setahun daripada LKM semenjak tahun 2009.
“Cabaran utama dalam usaha ini ialah apabila memastikan rumput tidak melebihi paras anak pokok koko dalam proses pertumbuhan peringkat awalnya sebelum ia menjadi matang selepas itu.
“Saya jangka tanaman koko saya boleh mengeluarkan hasil pada tahun ini atau selewat-lewatnya pada tahun hadapan. Cuma hasil pendapatannya kini bergantung kepada nilai pasaran dunia dari masa ke semasa,” menurut beliau.
Beliau juga memuji tindakan kerajaan menerusi LKM yang mahu mempertingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dengan mempergiatkan aktiviti penanaman koko pada masa sekarang.
Justeru Ngumbang berharap agar tanaman koko beliau mampu menghasilkan pendapatan yang agak memuaskan demi mempertingkatkan taraf hidup keluarganya pada masa akan datang.
Tamat.
No comments:
Post a Comment