Caption: MANFAATKAN...Mussen sedang menyampaikan cek pampasan kepada seorang penerima ketika berlangsungnya majlis berkenaan.
LUBOK ANTU, Ahad (21 Ogos) – Seramai 73 orang pemilik tanah dari kawasan Lubok Antu menerima pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM945,460 baru-baru ini.
Mereka menerima pampasan setelah tanah mereka diguna untuk tujuan Projek Jalan Lubok Antu / Lemanak, Lubok Antu, Projek Jalan Lubok Antu / Wong Pandak / Wong Panjai, Lubok Antu dan Tapak 33KV Sesco Substation Batang Ai.
Selain penyampaian cek pampasan, seramai 370 orang pemilik tanah Skim Penempatan Semula Batang Ai, Lubok Antu juga menerima surat hakmilik tanah bagi tujuan lot pertanian pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lubok Antu baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh ketika berucap merasmikan majlis itu berkata proses pembayaran pampasan akan mengambil masa memandangkan ia harus melalui prosedur tertentu bagi tujuan itu.
“Ia juga disebabkan oleh tindakan kerajaan untuk mengamalkan sikap berkhemah dalam berbelanja selama ini. Justeru diharap agar para pemilik tanah ini menggunakan dengan baik pampasan yang mereka terima selepas ini,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan akan tetap membayar pampasan terhadap penduduk sekiranya tanah mereka digunakan oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan dari masa ke semasa.
Hadir sama untuk menyaksikan majlis berkenaan adalah Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Amat Luat, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Sri Aman, Mohamad Razali Arshad dan pegawai kerajaan.
Tamat.
No comments:
Post a Comment