Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 August, 2011

Bazaar Ramadhan di Betong juga meriah



Caption: MINAT...Merawi sedang sibuk memilih juadah berbuka puasa di Bazaar Ramadhan Betong.

Saleman Senin

BETONG, Rabu (17 Ogos) – Sambutan Bulan Ramadhan nyata tampak meriah di Bandar Betong apabila ratusan orang pengunjung membanjiri Bazaar Ramadhan Betong 2011 pada setiap hari semenjak ia beroperasi di Stesen Bas Betong pada 1 Ogos lepas.

Bazaar Ramadhan Betong yang bermula seawal jam 2 petang itu menjadi tumpuan pengunjung yang ingin mencuba pelbagai resipi masakan yang berbeza dari lain-lain kawasan pada masa sekarang.

Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, Merawi Ais, ketika ditemui berkata beliau hanya membeli juadah makanan secara memadai sahaja bagi mengisi perut lapar setelah seharian berpuasa pada bulan.

“Susah juga nak memilih makanan yang membuka selera. Kalau ikutkan hati, semua juadah mahu dimakan tapi kalau beli lebih nanti membazir pula,” menurut beliau ketika berlangsung tinjauan rambang di Bazaar Ramadhan berkenaan.

Di Bazaar Ramadan Betong, para peniaga berkesempatan menjual pelbagai jenis masakan seperti Bubur Pedas, Bubur Kapur, Ikan Terubuk Panggang, Ayam Panggang, Murtabak Daging dan Ayam, Kebab, kuih-muih moden dan tradisional, berbagai jenis mee, Satay serta minuman pelbagai rasa.

Atas sebab ini kata Merawi, para pengunjung Bazaar Ramadan dikunjungi oleh pelbagai kaum termasuk Iban, cina dan lain-lain kaum termasuk kaum Melayu yang menunaikan ibadah puasa ketika ini sesuai dengan perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia .

Manakala itu seorang peniaga iaitu, Sabariah Mos,49, berpendapat bahawa aktiviti Bazaar Ramadan memberi peluang kepada penduduk untuk menambah pendapatan masing-masing pada bulan Ramadan.

Beliau yang telah menjalankan aktiviti perniagaan semenjak 20 tahun lepas menyarankan para pemimpin tempatan untuk bersama menyumbang idea lebih bernas bagi menceriakan lagi suasana sambutan Bazaar Ramadan Betong selepas ini.

“Para pemimpin kampung mungkin boleh membantu kami untuk mencari tapak dan ruangan niaga yang lebih selesa tanpa campur tangan pihak berkuasa tempatan demi mendapat hasil dari tapak sewaan niaga,” katanya.

Katanya lagi pihak Pengurusan atau Lembaga Amanah Melayu boleh berusaha mempertahankan hak peniaga ketika berlangsung sambutan Bulan Ramadan sebagai tanda sokongan untuk memajukan para peniaga kecil pada masa akan datang.

Terdahulu sejumlah 24 lot gerai disediakan oleh pihak berkuasa tempatan dengan kadar bayaran sewanya berjumlah RM100 per gerai bagi tujuan aktiviti bazaar terbabit bagi sepanjang bulan Ramadan ini.

Namun begitu terdapat peniaga yang terpaksa membuka gerai mereka sendiri dalam kawasan terbabit disebabkan oleh ketiadaan ruang niaga yang mencukupi hingga mereka dikenakan bayaran berjumlah RM15 sehari.

Tamat.

No comments:

Post a Comment