Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 August, 2011

Pelbagaikan fungsi masjid - Razi


Caption: MANFAATKAN...Razi sedang menyampaikan sumbangan berupa cek kepada penerima sambil disaksikan oleh Shamsul (dua kanan) pada majlis itu.


BETONG, Khamis (11 Ogos) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Rikcy Mohd Razi Sitam mahu umat Islam di Bahagian Betong mempelbagaikan fungsi penggunaan masjid di kawasan masing-masing selepas ini.

Katanya masjid boleh menyumbang peranan sebagai sebuah institusi untuk mempertingkatkan pengetahuan tentang agama Islam dikalangan kaum muslimin dan muslimah di Bahagian Betong ini.

“Umat Islam pada masa sekarang masih memandang masjid atau surau sebagai tempat untuk menunaikan ibadat sembahyang tanpa menyedari kelebihannya dalam menyumbang peningkatan kualiti taraf hidup umat Islam di kawasan ini.


“Fungsi masjid atau surau sebenarnya boleh dioptimumkan ke tahap yang lebih baik iaitu dengan menjadikannya sebagai sebuah platform untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sosial yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan peningkatan taraf kebajikan penduduk setempat,” katanya.

Razi berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pengagihan Wang Sumbangan Tabung Baitulmaal Sarawak (TBS) Sri Aman yang berlangsung di Masjid Jamek, Betong kelmarin.

Masjid atau surau katanya boleh dijadikan sebagai tempat untuk bermesyuarat, tusyen, kursus pembelajaran komputer dan latihan nasyid asal sahaja yang keluar dari lingkungan ajaran agama Islam.


Dengan adanya langkah seumpama ini menurut beliau, masjid atau surau bukan hanya akan menjadi tarikan golongan dewasa dan warga emas di bandar ini malah turut menarik penyertaan lebih ramai golongan remaja untuk sama-sama memanfaatkan fungsi tempat ibadah berkenaan di masa akan datang.


”Justeru ia sekaligus akan dapat memberikan kesan terhadap peningkatan kualiti taraf hidup secara menyeluruh terhadap golongan warga emas, dewasa dan remaja dalam daerah Sri Aman dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Betong, Ustaz Hazimin Shakir dan Pengurus Cawangan, TBS cawangan Sri Aman iaitu Shamshul Bahri Manap.

Terdahulu sejumlah 44 buah masjid dan 81 buah surau dari seluruh kawasan Bahagian Betong masing-masing telah menerima sumbangan wang bernilai RM1,000 daripada TBS Sri Aman.

Tamat.



No comments:

Post a Comment