Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 August, 2011

Kematian Latoh di Kuala Lumpur hanya diketahui keluarga dua minggu selepas itu


Caption: TINGGAL KENANGAN...Kematian mendiang Latoh di Kuala Lumpur hanya diketahui oleh keluarganya kira-kira 17 hari selepas itu.


LUBOK ANTU, Sabtu (6 Ogos) – Sebuah keluarga dari Rumah Wilson Manai, San, Lubok Antu terkejut apabila berita mengenai kematian anak lelaki mereka hanya baru diketahui pada 3 Ogos lalu walaupun sudah meninggal dunia lebih dari dua minggu lepas.

Latoh anak Embit, 25, telah ditemui pengsan oleh orang ramai pada 15 Julai lepas di tepi Jalan Kuala Lumpur dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 18 Julai.

Identiti mayat Latoh kemudiannya berjaya dikenalpasti oleh pihak polis Kuala Lumpur menerusi cop ibu jari mendiang dan seterusnya memaklumkan perkara terbabit kepada pihak polis Lubok Antu.

“Pihak polis Lubok Antu kemudiannya bertindak menemui keluarga mendiang pada 3 Ogos lepas untuk memberitahu mereka tentang kes kematian mendiang di Kuala Lumpur,” kata sumber.

Menurut laporan perubatan yang dikeluarkan oleh pihak hospital berhubung kejadian itu, mendiang Latoh dipercayai telah meninggal dunia kerana mengalami pendarahan di dalam otak.

Mayat mendiang Latoh telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 12.05 pagi pada hari Khamis lepas dan selamat tiba di rumah panjangnya sendiri pada jam 3 pagi.

“Mayat mendiang akhirnya selamat dikebumikan di sini hari ini (Sabtu). Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak telah menyumbang RM500 bagi membolehkan mayat mendiang dibawa pulang ke Sarawak,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment