Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 April, 2010

Rayong serah nasib kepada chief BN Sarawak


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

ENGKILILI, Selasa (14 April) - Wakil rakyat bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa menyerahkan sepenuhnya nasib politik beliau pada pilihan raya negeri kelak terhadap pihak pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

Rayong berkata hanya pihak BN Negeri yang dipengerusikan oleh Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan pucuk pimpinan komponen parti BN yang lain sahaja boleh menentukan sama ada beliau layak bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP - BN) di kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri akan datang.

"Keputusan terletak sepenuhnya di tangan mereka (BN Negeri). Jika mereka membenarkan saya bertanding di kerusi DUN Engkilili atas tiket SUPP -BN pada pilihan raya negeri kelak maka ia adalah merupakan berita amat baik buat diri saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Info Bestari anjuran Komuniti Bestari Nanga Bunu dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman di Rumah Empading, Nanga Bunu Skrang dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman hari ini.

Selain itu Rayong juga berjanji akan melakukan yang terbaik untuk penduduk sekiranya pihak BN memilih beliau menjadi calon untuk bertanding di kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri kelak.

"Ia merupakan impian saya untuk berkhidmat terhadap penduduk di Engkilili menerusi naungan kerajaan BN semenjak mula menjadi wakil rakyat di sini pada tahun 2006 dahulu.

Justeru saya yakin Engkilili akan terus membangun sekiranya kawasan ini menjadi milik BN selepas pilihan raya negeri kelak," katanya.

Terdahulu Timbalan Setiausaha Agung SUPP, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata masa depan Rayong untuk bertanding selaku calon SUPP-BN di kerusi DUN Engkilili pada pilihan raya negeri kelak bergantung sepenuhnya kepada hasil mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada tarikh yang ditetapkan selepas ini.
Faktor 'kadar menang yang tinggi' akan dijadikan sebagai ukuran oleh pihak MT SUPP menerusi mesyuarat ini nanti bagi menentukan sama ada Rayong layak bertanding di kerusi DUN Engkilili dengan menggunakan tiket BN.
Sementara itu beberapa orang pemimpin parti BN di kawasan Engkilili telah menyatakan sokongan terbuka masing-masing terhadap pemilihan Rayong selaku calon BN untuk bertanding di kerusi DUN berkenaan pada pilihan raya negeri ini nanti.
Mereka turut mahu agar calon BN untuk kerusi DUN berkenaan terdiri dari anak jati kelahiran kawasan Engkilili dan seterusnya menuntut agar 'orang luar' tidak campur tangan dalam urusan pemilihan calon mereka selepas ini.
Tamat.

No comments:

Post a Comment